Menghormati ibu bapa dan membalas segala jasa serta pengorbanan mereka merupakan tanggungjawab seorang anak. Ia menjadi kewajipan setiap anak untuk menghormati ibu bapa dan orang lebih tua, tidak kira walau apa pun keadaan mereka.

Kita boleh mencontohi seorang wanita dari Samut Prakan, Thailand ini yang masih tidak melupakan latar belakangnya walaupun dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan ratu cantik ‘Miss Uncensored News Thailand’ pada tahun 2015.

Gambar gadis cantik yang bernama Khanitta Phasaeng atau lebih dikenali sebagai Mint sujud di hadapan ibunya sebagai tanda terima kasih, tersebar luas di laman sosial sehingga berjaya menyentuh hati ramai pihak.

Oleh kerana kemiskinan keluarganya, untuk mengurangkan beban ibunya yang merupakan ibu tunggal, dia tidak melanjutkan pelajaran di universiti.

Mint sudah biasa hidup susah dan sering membantu ibunya yang bekerja sebagai pengutip sampah. Pekerjaan ibunya itu menjadi sumber utama mata pencarian keluarganya bagi membesarkan Mint dan adik-beradiknya yang lain.

Dia berasa seperti tidak percaya ketika diumumkan memenangi pertandingan ratu cantik selepas para hakim membuat keputusan. Baginya kemenangan itu seperti satu mimpi yang menjadi kenyataan.

Selepas dia memenangi pertandingan ratu cantik tersebut, perkara pertama yang dilakukannya adalah pulang ke rumah untuk berkongsi berita baik tersebut dan ingin memberitahu ibunya bahawa impiannya menjadi kenyataan.

Dengan memakai mahkota bertatahkan mutiara dan selempang sutera ratu cantik, Mint pulang ke kampung halaman dan sujud di hadapan ibunya bersebelahan tong sampah, sebagai ucapan terima kasih atas segala pengorbanan ibunya selama ini.

Tindakan Mint itu berjaya menyentuh hati ramai pengguna laman sosial yang memuji tindakannya yang tidak mudah lupa daratan ketika mengecapi kejayaan.

“Setiap kejayaan yang saya raih ketika ini adalah untuk ibu saya. Saya dan ibu hidup dengan melakukan pekerjaan yang jujur demi mencari rezeki yang baik, Tidak ada apa yang perlu dimalukan,” kata Mint.

Selepas Mint memenangi pertandingan itu, dia mendapat tawaran kerja dalam bidang pengiklanan, filem dan TV, dan dia berharap dapat memperbaiki dan membantu keluarganya.

Ramai netizen memuji tindakan dan sikap Mint yang tidak melupakan latar belakang keluarganya yang miskin. Menurut tradisi Thailand, apa yang dilakukan oleh Mint adalah adalah penghormatan tertinggi yang sepatutnya diberikan kepada semua ibu bapa dan orang lebih tua di Thailand serta ia perlu menjadi contoh buat golongan muda yang lain.

Kisah Mint memberi pengajaran dan mengingatkan kita supaya tidak pernah lupa akan jasa ibu bapa dan asal usul. Kita perlu sentiasa berpijak di bumi yang nyata walaupun telah memperoleh kejayaan di dalam kehidupan.

Sumber: Bldaily

Maybe you're interested :

Share

Video Popular