KENINGAU – Seorang remaja meninggal dunia selepas terkena tembakan rakannya sendiri ketika memburu di kawasan Hutan Karamatoi pada 9 Julai yang lalu.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi, mangsa Fithiwandi Feritus,18, maut di tempat kejadian selepas terkena tembakan yang dilepaskan rakannya sendiri yang disangkakan seekor rusa.Terdahulu dua sekawan itu bersetuju untuk memburu di hutan selepas mendapati banyak rusa muncul untuk mencari makanan di kawasan berkenaan selepas hujan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Keningau ASP Lee Nyuk Lim berkata, ketika memburu, suspek yang berusia 21 tahun itu mengintai kehadiran rusa melepaskan tembakan ke satu arah selepas mendengar pergerakan yang disangkakan rusa.

“Dia kemudian segera ke arah tersebut namun terkejut Fithiwandi terbaring selepas terkena tembakan dan mengalami kecederaan teruk.

“Suspek kemudiaan cuba untuk menyelamatkan mangsa tetapi gagal dan kemudian bergegas pulang ke kampung sejauh setengah jam perjalanan untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada ketua kampung,” katanya.

Nyuk Lim berkata, Fithiwandi mengalami kecederaan serius di bahagian leher sebelah kanan dan bahu kirinya akibat tembakan tersebut.

Katanya, suspek kemudian pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada bapanya sebelum memutuskan menyerah diri ke balai polis.

Katanya, berdasarkan maklumat itu, sepasukan anggota diketuai dengan dipandu arah oleh suspek ke lokasi kejadian dan menemui mangsa berada di tepi sungai.

“Polis turut menemui selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk yang disyaki digunakan suspek ketika kejadian itu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Keningau,” katanya.

Nyuk Lim berkata, suspek yang juga rakan sekampung mangsa turut didapati positif dadah jenis syabu ketika ujian air kencing dilakukan.

Suspek kemudian ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sabah Post, Harian Metro

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular