Gambar yang dimuat naik di Instagram sudah tentu menerima komen-komen daripada kenalan dan para pengikut yang lain. Sudah tentulah banyak komen yang baik-baik sahaja diterima namun ada juga individu yang menerima komen berbentuk negatif.

Ternyata kita tidak dapat mengawal keadaan itu melainkan memadam komen mereka, tetapi sampai bila bukan? Jenuh pula untuk memadamkannya selalu. Mahu menyekat akses mereka terhadap akaun kita, rasa tidak sampai hati pula. Jadi apa yang perlu dilakukan?

Tahukah anda bahawa ciri terbaru yang diperkenalkan Instagram membolehkan anda mengawal keadaan di mana komen negatif berkenaan hanya boleh dibaca oleh mereka sahaja.

Jika mereka disekat, lazimnya mereka akan tahu bukan? Namun, dengan ciri terbaru ini, mereka tidak tahu langsung bahawa mereka dikenakan ‘halangan’.

Instagram

Menurut TIME, pengguna boleh memilih untuk menyiarkan komen yang dihalang tersebut kepada pengguna lain jika pengguna membenarkannya.

Mereka yang sudah dihalang juga tidak dapat melihat status aktif anda atau sama ada anda sudah membaca mesej mereka ataupun belum.

Menurut Adam Mosseri selaku Ketua Instagram, pengguna lazimnya cenderung untuk menyekat akaun, nyahikut atau melaporkan pembuli, di mana ia bakal meningkatkan ketegangan jika pengguna perlu berinteraksi dengan pembuli dalam dunia realiti.

Selain daripada ciri di atas, terdapat juga ciri lain yang telah dibangunkan bagi membolehkan pembuli berfikir semula kewajaran kandungan komen mereka sebelum meninggalkan komen berkenaan.

“Intervensi ini membolehkan pengguna berpeluang untuk berfikir sedalam-dalamnya dan ‘undo’ komen yang telah ditinggalkan selain menghalang pemilik akaun menerima notifikasi komen negatif,” tambah Adam.

Menggunakan teknologi Artificial intelligence (AI), Instagram akan memberi amaran kepada pengguna jika komen mereka dianggap menyinggung pengguna lain sebelum diposkan.

Instagram

“Semasa tempoh ujian ciri ini, kami dapati bahawa ia menggalakkan sesetengah pengguna untuk ‘undo’ komen mereka yang berbaur kebencian,” jelas Adam lagi.

“Kami komited untuk menjadi peneraju industri dalam membanteras buli siber dan kami akan mengambil perhatian akan pengalaman keseluruhan Instagram bagi memenuhi komitmen tersebut,” akhirnya.

Berdasarkan kajian yang dilakukan di Britain, pada tahun 2017, sejumlah besar kes buli siber berlaku di laman Instagram.

Sumber: Instagram

Maybe you're interested :

Share

Video Popular