- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Tetamu alami keracunan makanan ketika sambutan ulang tahun kelahiran Imelda Marcos yang ke-90

MANILA – Kira-kira 2,500 tetamu menghadiri majlis sambutan ulang tahun kelahiran bekas wanita pertama Filipina, Imelda Marcos yang ke-90 di Manila pada hari Selasa, dan beberapa ratus orang antara mereka telah mengalami keracunan makanan selepas menjamu selera dengan hidangan makan tengah hari berlauk ayam adobo.

Para tetamu kemudiannya telah dikejarkan ke hospital berdekatan selepas mengalami simptom ‘muntah-muntah dan pening’.

TED ALJIBE/AFP/Getty Images

Pegawai kesihatan melaporkan seramai 261 orang telah mengalami keracunan makanan. Imelda Marcos dan ahli keluarganya tidak mengalami keracunan makanan dalam insiden itu.

Tokoh politik berusia 90 tahun ini adalah isteri diktator Presiden Ferdinand Marcos yang digulingkan dalam pemberontakan ‘Kuasa Rakyat’ pada tahun 1986. Bekas wanita pertama Filipina ini amat terkenal di seluruh dunia dengan cita rasa mewah dan koleksi lebih 1,000 pasang kasutnya.

TED ALJIBE/AFP/Getty Images

Walaupun sentiasa diselubungi kontroversi, Imelda Marcos tetap menjadi tokoh popular di Filipina dan majlis ulang tahun kelahirannya akan diadakan setiap tahun oleh para penyokong dan sambutan itu telah diadakan sebanyak beberapa kali dalam minggu ini.

Ketika insiden, para penyokong menghadiri majlis yang diadakan di stadium sukan, di mana mereka diberi makan nasi, telur rebus dan ayam adobo, hidangan tradisional Filipina yang popular dan antara ramuannya ialah cuka dan kicap.

Pengerusi Palang Merah Negara Filipina, Richard J.Gordon yang membantu pemindahan perubatan para pesakit, telah memuat naik di Twitternya beberapa gambar kakitangan perubatan sedang merawat pesakit di dalam ambulans.

@DickGordonDG/Twitter [3]

Keluarga Marcos telah memohon maaf ekoran insiden itu. Bongbong Marcos dalam satu kenyataan berkata “Kami sedang mengurus dan membantu mereka yang terjejas. Saya memohon maaf dan berharap anda semua memahami.”

Anak perempuan Imelda, Imee Marcos juga dilaporkan telah memberitahu tetamu di majlis itu dalam Facebook secara langsung, “Makanan mungkin telah rosak, tetapi kami tidak apa-apa. Mari kita sama-sama menjaga mereka yang berada di hospital dan kami berharap dapat melawat semua yang terjejas.”

TED ALJIBE/AFP/Getty Images

Tahun lalu, Imelda Marcos telah dijatuhi hukuman 11 tahun penjara atas tujuh pertuduhan rasuah. Walau bagaimanapun, dia tidak dipenjarakan dan hukuman tersebut telah ditunda dengan jaminan sementara menunggu rayuan di mahkamah rayuan.

Keluarga Marcos dikatakan telah mengumpul kekayaan lebih RM32 bilion dalam bentuk harta, barang kemas, wang tunai dan aset-aset lain semasa pemerintahan kuku besi mendiang Presiden Ferdinand Marcos.

loading...