Sebut sahaja makanan manis atau makanan ringan pasti menjadi pilihan kanak-kanak. Mereka bahkan berebut-rebut mahu menikmati makanan ringan sehingga melupakan makanan yang lebih sihat. Jangan kata sayur atau buah-buahan, nasi pun adakalanya mereka tidak makan.

Jelas sekali tabiat makanan tersebut bukan shaja tidak baik untuk kesihatan malah turut memberikan kesan negatif kepada gigi kanak-kanak. Tidak hairanlah jika dilihat kanak-kanak seawal usia 3 atau 4 tahun sudah mengalami gigi berlubang atau karies gigi.

Gambar Hiasan | catatan zabidi

Menerusi Facebook, seorang doktor gigi, Azila berkongsi pengalamannya berhadapan dengan ibu bapa yang datang kepadanya untuk menampal atau mencabut gigi anak-anak mereka yang berusia seawal 3 tahun.

Perkara tersebut dianggap tidak sepatutnya berlaku kerana anggaran gigi kekal pertama tumbuh paling awal usia 5-6 tahun. Katanya, jika gigi susu dicabut ada 2 perkara yang perlu difikirkan.

1. Anak akan hilang gigi untuk mengunyah makanan. Mustahil mereka akan gunakan gigi palsu bukan?

2. Apabila gigi susu dicabut pramatang, pertumbuhan gigi kekal akan jadi ‘impaction’ dan ‘malposition’.

Susu botol adalah penyebab semua kes gigi susu rosak teruk. Bakteria dalam mulut dan gula dalam susu akan menjadi berasid lalu menghakis gigi kanak-kanak. Apabila berhadapan dengan keadaan seperti ini, biasanya ibu bapa mengadu gigi anak hancur seperti kapur. Inilah namanya KARIES SUSU.

Oleh itu, untuk mencegah karies gigi, beberapa perkara perlu dilakukan iaitu:

1. Berus atau cuci gigi anak sebaik sahaja gigi pertama tumbuh.

2. Bawa anak berjumpa doktor gigi sebaik gigi tumbuh. Ini untuk membiasakan suasana klinik gigi dan peralatannya.

3. Jangan biarkan anak tidur sambil minum susu.

4. Jangan kongsi sudu garpu sebelum menyuap makanan. Ini kerana sekiranya mulut ibu pun tidak bersih, maka bakteria daripada mulut ibu akan ke mulut anak.

5. Sekiranya gigi anak sakit, segeralah bawa berjumpa doktor gigi.

Gambar berikut adalah contoh pesakit doktor Azila yang berumur 4 tahun.

Ini adalah contoh karies susu. Gigi atas kanak-kanak rosak teruk kerana semasa tidur lidah anak akan menutupi gigi bawah, susu kurang berada pada gigi bawah, maka gigi bawah kurang mengalami kerosakan berbanding gigi atas.

Rupa jahitan selepas keseluruhan gigi susu. Ini kes anak 4 tahun di Phuket Thailand.

Menurut doktor Azila, dia juga mempunyai anak yang kuat menyusu botol sehingga usia 5-6 tahun. Satu malam 2-3 kali bangun bancuh susu dan tidak cukup tidur. Namun, dia bersyukur kerana anak- anaknya tiada karies susu. Cara yang doktor Azila praktikkan ialah:

1.  Pertama, pastikan cabut puting (sama ada mengempeng susu badan atau susu botol). Sediakan air masak dalam botol susu lain. Sebaik sahaja puting susu dicabut, gantikan dengan air masak dalam botol susu supaya manisan tidak melekat pada gigi.

Gambar Hiasan | John Finkelstein – Pexels

2. Kedua, paksa anak berus gigi. Si ayah perlu mengepit kaki anak sambil tangan peluk badan anak. Ibu pula berus gigi anak dan pastikan lagi ada air masak dalam picagari. Ini kerana bayi belum pandai berkumur.

BabyCenter

3. Ketiga, katakan tidak kepada makanan ringan, makanan manis, minuman bergas dalam tin yang manis.

Semua ini diperolehi doktor Azila daripada pengalamannya bekerja di bawah beberapa orang pakar pergigian kanak-kanak. Semoga dengan perkongsian ini, ibu bapa akan lebih peka dengan kesihatan gigi anak-anak.

Sumber:  Azila Dentist, Klinik Pergigian Azila Bangi

Maybe you're interested :

Share

Video Popular