Pelukis di sebalik salah satu karya mural ‘Kanak-Kanak Atas Basikal’ yang terkenal di Pulau Pinang iaitu Ernest Zacharevic baru-baru ini menyatakan rasa kesal di atas tindakannya menghasilkan lukisan berkenaan dan kesannya sehingga ke hari ini.

Instagram @ernestzacharevic

Menerusi perkongsian di Instagram beliau pada 2 Julai lalu, Zacharevic meluahkan pendapat peribadinya dan menyatakan bahawa keadaan di Armenian Street pada masa kini tidak lagi sama seperti keadaannya sewaktu beliau mula-mula berpindah ke sana. Dahulu, kawasan berkenaan merupakan ‘jalan warisan yang sunyi’ dan terdapat beberapa penduduk tempatan yang menjual barangan antik serta perkhidmatan potongan rambut dengan harga yang berpatutan (RM6) di rumah masing-masing.

Namun demikian, hari ini keadaan di Armenian Street telah berubah menjadi kawasan yang dibanjiri dengan lambakan kedai cenderamata dan gerai ‘mesra Instagram’ sekali gus menarik minat para pelancong tempatan mahupun luar negara untuk melancong ke Pulau Pinang.

“Walaupun lukisan kanak-kanak di atas basikal telah pudar, orang ramai masih beratur panjang untuk bergambar tetapi hari ini ia bukan hari yang biasa di Armenian Street.”

Instagram @ernestzacharevic

Zacharevic yang merupakan seniman dari Lithuania ini telah menghasilkan karya ikonik itu pada tahun 2012 sebagai sebahagian daripada Festival Georgetown. Sejak itu, kawasan berkenaan telah menjadi pusat daya tarikan pelancong. Akan tetapi, beliau bimbang Georgetown akan kehilangan status Tapak Warisan Dunia UNESCO akibat kegagalan melindungi budaya, seni bina dan masyarakatnya.

“Saya sendiri dan ramai lagi menyalahkan karya saya untuk Armenian Street kerana menjadi pusat tarikan di Pulau Pinang dan saya pernah mempertimbangkan untuk mengecat semula karya-karya seni bagi menamatkan sarkas tersebut. Tetapi sebenarnya, jika bukan kerana karya kanak-kanak di atas basikal, orang ramai tetap akan beratur untuk perkara lain”.

Instagram @ernestzacharevic

Tambahnya lagi, peningkatan pembangunan di kawasan tersebut bukanlah berpunca daripada unsur kesenian semata-mata tetapi pembukaan gerai-gerai yang dijamin membuatkan masyarakat berpusu-pusu untuk ke sana, penjualan rumah-rumah warisan kepada pelabur asing dan sebagainya…

Bangunan-bangunan lama dirobohkan untuk pembinaan premis-premis baharu dan tindakan ini sudah tentu akan ‘menghakis’ aspek kebudayaan yang menjadi elemen utama pemilihan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Instagram @ernestzacharevic

“Kita hanya boleh berharap apa yang berlaku pada hari ini akan membuatkan pemilik perniagaan berfikir semula sebelum membuka satu lagi kedai teh bubble atau muzium seni 3D di bandar ini.”

Sumber: SAYS

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular