Selain daripada cicak dan tikus, lipas merupakan antara serangga perosak yang paling dibenci oleh masyarakat di seantero dunia.

Ia kebiasaannya hidup pada kawasan yang lembap, misalnya di celah-celah almari mahupun di bawah sinki jika di rumah.

Lipas hidup dengan memakan sisa-sisa makanan yang terbiar dan juga sampah. Sungguhpun begitu, lipas boleh dikatakan agak sukar untuk dihapuskan.

The Harvard Crimson

Bagi individu yang sememangnya takut dan geli akan lipas, berita ini bakal menjadi ‘mimpi ngeri’ buat anda. Hal ini kerana, lipas kini nampaknya sudah mula membina daya tahan-silang terhadap racun perosak yang berkuasa.

Para saintis daripada Purdue mendedahkan kesan lipas Jerman terhadap beberapa jenis racun serangga yang berbeza, dan mendapati bahawa populasi lipas itu bukan sahaja menimbulkan daya tahan terhadap racun serangga terbabit, malah turut menimbulkan daya tahan terhadap racun serangga yang lain.

Serangga yang sudah imun dengan racun tersebut juga akan menyalurkan daya tahan berkenaan kepada anak-anaknya, menjadikan lipas sebagai serangga yang kebal terhadap racun perosak sepenuhnya.

“Ini merupakan cabaran terhadap lipas yang kami tidak sedari daripada awal. Lipas membina rintangan terhadap beberapa jenis racun perosak pada satu-satu masa dan ia menjadikan kawalan terhadapnya menggunakan bahan kimia adalah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan”, jelas Michael Scharf dari Universiti Purdue yang mengetuai kajian itu.

Lipas yang kebal ini sudah tentu mendatangkan masalah kepada manusia. Pakar penghapus serangga kebiasaannya menggunakan racun perosak yang berbeza – di mana racun tersebut dibahagikan kepada kelas bergantung kepada tahap toksik, komposisi kimia dan faktor yang lain.

Dengan cara ini, lipas yang kebal kepada satu jenis racun, mungkin akan mati apabila menggunakan racun kelas lain.

News.com.au

Akan tetapi, apa yang menjadi masalah adalah lipas sudah imun terhadap semua jenis racun perosak yang berbeza-beza itu. Menurut kajian, para saintis dapat mengekalkan populasi lipas dengan penggunaan racun perosak secara bergilir-gilir namun tidak mampu untuk mengurangkan jumlah lipas.

Menurut Scharf, rintangan dalam satu generasi lipas kadang-kadang meningkat empat atau enam kali ganda. Hal ini ditambah dengan hakikat bahawa seekor lipas betina yang boleh menghasilkan 200-300 ekor anak sepanjang hayatnya yang singkat.  

Pasukan penyelidik itu juga membuat kesimpulan bahawa isu ini agak kritikal di kawasan berpendapatan rendah dan mana-mana lokasi yang tidak mempunyai kawalan serangga yang baik.

Bagi mengatasinya, Scharf menyarankan untuk mempelbagaikan kaedah rawatan perosak, termasuklah kaedah fizikal seperti perangkap dan langkah pencegahan seperti sanitasi.

Penyelidikan itu telah diterbitkan dalam jurnal Laporan Saintifik, dan akan menjadi teks kepada Zaman Lipas Global yang akan datang. Apa-apa pun, lipas sudah hidup di muka bumi ini berjuta-juta tahun sebelum manusia.

Namun, ia tidak menafikan hakikat bahawa kehadirannya membawa banyak kesan buruk kepada manusia. Jadi, kita perlu terus berusaha untuk membasminya ya!

Sumber: CNN

Maybe you're interested :

Share

Video Popular