KUALA LUMPUR: Pengunjung di kawasan peranginan Genting Highlands di sini berdepan detik cemas semalam apabila pokok hiasan yang terletak berhampiran eskalator di antara Hotel Genting Grand dan Hotel First World terbakar.

Keadaan berkenaan menyebabkan pengunjung mula panik selepas melihat api semakin marak dan kepulan asap tebal mula memenuhi ruang udara.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd Sani Harul berkata, kebakaran kira-kira jam 6 petang itu melibatkan landskap yang menempatkan hiasan pokok bunga plastik sebelum ia merebak ke bahagian bangunan.

The Sun Daily|Youtube

“Selepas menerima panggilan kira-kira 6.13 petang sebanyak lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highland bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian kita mendapati kebakaran berlaku di ruang tangga koridor pejalan kaki antara Hotel First World dan taman tema terbabit,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Mstar.

Video kebakaran tersebut menjadi tular di media sosial dan dikongsi beribu pengguna.

Menurut Mohd Sani, pihaknya memadamkan api menggunakan satu aliran ‘hose reel’ bersama tujuh unit alat pemadam api jenis debu kering.

“Kebakaran yang memusnahkan kira-kira 10 peratus landskap itu tidak melibatkan kemalangan jiwa,” katanya.

Bagaimanapun pihaknya masih lagi menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian.

Sementara itu, Resort World Genting dalam satu kenyataan pula berkata, pihak pengurusan mengesahkan tiada  yang cedera dan resort itu tidak terjejas kerana kawasan kebakaran terletak di kawasan yang terasing.

Katanya ketika kejadian, pelanggan segera dibawa ke tempat yang selamat oleh pasukan tindakan kebakaran resort itu yang berada di lokasi.

Sumber: Mstar, Berita Harian

 

 

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular