Menurut Statistik Kemalangan Jalan Raya yang direkodkan oleh Jabatan keselamatan Jalan Raya Malaysia, jumlah kemalangan di Malaysia mencatatkan peningkatan saban tahun. Pada tahun 2018, purata kematian disebabkan oleh kemalangan jalan raya adalah seramai 18 orang pada setiap hari. Ada sahaja berita mengenai kemalangan yang disiarkan pada televisyen mahupun di dada-dada akhbar, terutamanya ketika musim perayaan.

Apa yang menyedihkan adalah tatkala anak kecil juga turut tidak terlepas daripada menjadi mangsa. Akibat kecuaian, anak kecil yang masih tidak tahu apa itu terpaksa menanggung sakit dan derita. Aspek keselamatan jalan raya perlu ditekankan dan tidak boleh dikompromi, lebih-lebih lagi jika bersama keluarga. Ingat, mencegah lebih baik daripada merawat!

Jadi, sebelum berlaku apa-apa, lebih baik kita lakukan langkah pencegahan. Justeru, Norhannie Salleh telah berkongsi kisah dirinya berhadapan dengan detik genting bergelut dengan maut ketika terlibat dalam kemalangan. Menurutnya, ketika dia sedang berpantang pada hari ke-36, dia dan suami terlibat dalam kemalangan.

Gambar Hiasan | Stuff.co.nz

Sebuah lori memasuki laluan bertentangan dan melanggar kereta mereka. Mereka pula dalam perjalanan untuk pulang ke rumah. Ketika kemalangan, dia dan bayinya duduk di kerusi penumpang belakang. Dia tercampak ke depan (ke arah pemandu) manakala bayinya yang diletakkan di kerusi keselamatan bayi beralih ke kanan dan kiri.

Bayangkan jika bayinya itu diriba, tidak tahu apa yang bakal terjadi pada bayinya itu. Mungkin mengalami patah tulang ataupun lebih teruk, meninggal. Suaminya pula mengalami kecederaan yang agak teruk manakala dia dan bayinya hanya cedera ringan. Ternyata mereka dilindungi Tuhan.

Tambahnya, dia mula meletakkan bayinya pada kerusi keselamatan bayi selepas seminggu keluar daripada hospital. Dia akan meletakkan bayinya itu di kerusi keselamatan bayi untuk bergerak ke mana sahaja, bahkan jika membawa anaknya ke klinik kesihatan bagi pemeriksaan kesihatan. Ramai juga yang tegur kerana pelik bayi baru lahir diletakkan di kerusi keselamatan bayi kerana risau bayi akan sakit badan.

Gambar Hiasan

kerusi keselamatan bayi sudah terbukti banyak membantu menjamin keselamatan bayi jika berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Menurut wanita itu, dia mahu kongsi pengalamannya ini bagi memberi pengajaran kepada ibu lain diluar sana. Hal ini kerana, rata-rata ibu pasti akan meriba bayi mereka ketika di dalam kereta. Ingat, kecelakaan boleh terjadi dalam sekelip mata sahaja.

Anak merupakan amanah dan perlu dijaga sebaik mungkin. Jangan terhantuk baru terngadah pula. Nyawa anak sangat berharga. Justeru, carilah kerusi keselamatan bayi yang sesuai. Untuk bayi yang berusia 2 tahun ke bawah, mereka masih lagi perlu menghadap ke belakang. Tidak semua kerusi keselamatan bayi yang sesuai dengan anak masing-masing dan tidak semua yang bersesuai dengan anak kita, sesuai dengan kereta yang dipandu.

Sumber: Norhannie Salleh

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP Keluarga

Video Popular