Video detik cemas dua lelaki nyaris maut apabila dikejar oleh seekor harimau ketika menunggang motosikal di satu laluan di tengah hutan menjadi tular di media sosial.

Rakaman video tersebut menunjukkan penunggang dan pembonceng motosikal dikejar oleh seekor harimau yang secara tiba-tiba melompat keluar dari hutan. Lebih mencemaskan apabila harimau tersebut kelihatan seperti mahu menerkam pembonceng motosikal itu.

Mujur nasib mereka baik kerana penunggang motosikal itu sempat memecut laju dan harimau belang tersebut masuk semula ke dalam hutan berhampiran setelah gagal mengejar motosikal yang dinaiki mereka.

Kejadian itu dilaporkan dirakam di pinggir Taman Negara Nagarhole, selatan India yang merupakan habitat kepada lebih 72 ekor harimau benggala.

Pada awal tahun ini, seekor harimau di taman negara berkenaan dilaporkan telah membunuh tiga orang, termasuk dua lelaki berusia 28 tahun dan 60 tahun sebelum pegawai perhilitan bertindak menangkap harimau itu.

Pada 2013, media tempatan melaporkan empat nyawa terkorban di taman negara berkenaan serta kawasan sekitar Bandipur.

Seorang petani berusia 55 tahun juga dilaporkan maut diterkam oleh harimau di luar Bandipur, sementara seorang peninjau hutan terbunuh di Nagarhole selepas menjawab panggilan telefon pada waktu malam.

Dalam setiap kes yang dilaporkan, pihak berkuasa berusaha menangkap hidupan liar berkenaan sama ada ditembak ataupun dimasukkan ke mana-mana zoo berdekatan.

Harimau Benggala merupakan haiwan terancam, menurut Senarai Merah Spesies Terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), dengan bilangannya semakin berkurangan akibat kepupusan habitatnya setelah dijadikan penempatan manusia.

Haiwan daripada spesies kucing ini banyak dijumpai di kawasan sekitar India, Bangladesh, Nepal, Bhutan dan Myanmar.

Tonton video tersebut yang mencemaskan di bawah:

TempatBest/Facebook

Sumber: New Straits TimesTempatBest/Facebook

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL VIDEO

Video Popular