TORONTO – Tribunal rakyat di London membuat kesimpulan pada 17 Jun bahawa terdapat ramai banduan telah dibunuh untuk mendapatkan organ mereka di China. Ia disaksikan sendiri oleh seorang bekas doktor pelatih yang berpraktikal di sebuah hospital tentera di Shenyang dan memutuskan untuk menguar-uarkan tentang pengalaman buruk yang dialaminya.

George Zheng bakal menamatkan pengajian dan bergraduasi daripada kolej perubatan pada tahun 1990-an apabila dia menyaksikan insiden mengerikan itu. “Saya dalam tempoh praktikal di Hospital Umum Tentera Shenyang. Pada ketika itu, saya terlibat dengan misi ketenteraan,” jelas George.

Bersama dengan 3 orang doktor dan 2 orang jururawat dan di bawah kawalan pengiring bersenjata, George dibawa menaiki ambulans menuju ke daerah Dalian, bahagian Timur Utara China.

Menurut George, ambulans itu kemudian tiba ke kawasan yang sangat terpencil. “Kami mendengar bunyi tembakan dan tidak lama kemudian kami nampak beberapa askar membawa seorang lelaki.”

Leher lelaki berlumuran darah, bahagian tekaknya didapati berdarah. George juga menyaksikan doktor mengeluarkan buah pinggang daripada banduan. Salah seorang daripada doktor turut mengarahkannya sesuatu.

‘Dia menyuruh saya memotong saluran darah seseorang. Sejurus dipotong, banyak darah membuak keluar dan terasa panas,” jelasnya yang kemudian berasa panik dan terkejut pada masa itu.

NTD

“Saya lihat orang lain tidak mempunyai apa-apa ekspresi pada wajah mereka. Selepas buah pinggang, doktor mengarahkan saya untuk mengeluarkan biji mata.” Tubuh George kemudian menggeletar dan hampir pengsan dan dia memberitahu doktor bahawa dia tidak boleh melakukannya.

Ia akhirnya dilakukan oleh seorang doktor dan setelah itu, dia menyuruh George memasukkan badan banduan ke dalam beg untuk dibawa oleh askar-askar dari sana. George kemudian bertanya apa akan dilakukan pada mayat-mayat berkenaan, dan jawapan yang diterima adalah akan tiba kenderaan tentera untuk mengambil dan menghapuskan atau membakarnya.

Apabila mereka tiba di Shenyang, George telah melihat proses pemindahan organ tersebut kepada tubuh pesakit yang dalam senarai menunggu. Dia diarahkan untuk ‘duduk dan berehat’. Ternyata apa yang dilihat George amat memeranjatkannya.

Apabila pulang ke rumah, George mengalami demam panas untuk beberapa hari. Dia kemudian memberitahu seseorang di hospital bahawa dia tidak akan ke tempat itu lagi. “Saya kata saya akan bekerja di tempat lain, namun tidak akan melakukan kerja itu lagi,” jelas George.  

Sehingga ke hari ini, peristiwa itu masih menghantui George. Dia juga berfikir apa nasib ibu bapa kepada mangsa tersebut. Pasti ibu bapa mangsa berasa sangat bimbang akan anak mereka.

NTD

“Keluarga mangsa langsung tidak tahu akan kejadian kejam ini,” tambahnya. George memutuskan untuk meninggalkan China dan berkata bahawa Parti Komunis China akan membunuh sesiapa sahaja yang tahu akan kekejaman ini.

“Apabila saya tahu mengenainya, saya fikir saya patut membela nasib mangsa, kerana ribuan keluarga di China langsung tidak tahu bahawa ahli keluarga mereka mati dalam keadaan yang sungguh kejam.”

Tribunal rakyat bebas di London secara bulat menyimpulkan bahawa amalan rejim China untuk pengambilan organ secara paksa telah berlaku di beberapa tempat, dalam tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun, dan masih berlangsung sehingga ke hari ini.

Beberapa testimoni yang diberikan oleh beberapa kumpulan yang berbeza, satu-satunya suara yang hilang di tribunal ialah Parti Komunis China, yang mendakwa bahawa tuduhan tersebut bermotifkan politik.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran

Video Popular