Ada yang mengatakan hidup ini umpama kisah dongeng tetapi kisah yang akan kami kongsikan ini lebih kepada cerita kartun yang berubah menjadi realiti! Kita semua tahu kata-kata itu merupakan satu doa. Bayangkan jika apa yang kita katakan secara spontan itu tiba-tiba menjadi kenyataan yang menggemparkan seluruh warganet!

Ini adalah kisah mengenai seekor kucing bernama Duchess yang dipelihara oleh Shelby Sewell-Lopez sejak tahun 2018. Pada awalnya, Duchess adalah seekor kucing yang tidak secantik sekarang. Kucing ini mengalami keguguran bulu, hernia dan kutu. Bagaimanapun, di bawah jagaan Shelby, kucing ini akhirnya telah berubah menjadi seekor kucing yang sangat cantik!

Tidak lama kemudian, keluarga ini telah menemui Duchess di dalam almari bersama empat lagi haiwan kecil yang mereka sangkakan tikus! Setelah diperiksa, rupa-rupanya empat ekor ‘tikus’ itu adalah anak-anak Duchess yang dinamakan Marie, Berlioz, Toulouse dan juga Blue.

Menurut Shelby, Duchess adalah seekor kucing yang sangat penyayang. Walaupun kesemua anak-anaknya telah besar dan mula merayau ke seluruh rumah, Duchess akan tetap menemani mereka.

Bagaimanapun, apabila anak-anak Duchess semakin membesar, Shelby telah menyedari sesuatu yang menakjubkan. Anak-anak kucing ini kelihatan seiras karakter daripada kartun The Aristocats! Bukan sahaja dari segi rupa, jantina kucing-kucing ini juga sama seperti kartun itu dan disebabkan itulah Shelby menamakan mereka Marie, Toulouse dan Berlioz.

Pada awalnya, suami Shelby tidak bersetuju dengan cadangannya untuk memelihara kesemua kucing berkenaan. Tapi akhirnya, si suami menurut kata dan inilah gambar mereka yang kini telah meningkat dewasa!

#1 Marie

#2 Toulouse

#3 Berlioz

Penularan gambar ini menerima reaksi yang positif daripada warganet. Rata-ratanya sangat teruja dan terhibur melihat kecomelan keluarga Duchess ini. Semoga Duchess dan anak-anaknya akan terus menyemai kasih sayang dan berbahagia di bawah jagaan Shelby.

Sumber: Bored Panda, Duchess and Kittens | Facebook

Maybe you're interested :

Share
Kategori: HIBURAN

Video Popular