Masih ramai lagi di antara kita yang keliru dan tidak tahu bahawa kedua-dua penyakit ini adalah berbeza walaupun kelihatan sama sahaja. Demam campak dikenali sebagai ‘measles’ manakala cacar air merujuk kepada ‘chicken pox’.

Walaupun simptomnya merah-merah yang kelihatan sama sahaja namun salah satu daripadanya amat berbahaya. Berikut merupakan perbezaannya:

#1. Punca

Demam campak lazimnya disebabkan oleh virus measles dan seringkali disertai dengan jangkitan pernafasan dan ruam pada kulit.

Cacar air pula disebabkan oleh virus ‘varicella’ – virus sama menyebabkan kayap.

Stephen Kelly, 2018

#2. Cara Jangkitan

Kedua-duanya mudah dijangkiti melalui udara, cecair daripada seperti batuk dan bersin. Cacar air juga dengan mudah berjangkit melalui cecair lepuh daripada sentuhan atau pernafasan. Demam campak pula tidak berjangkit melalui kulit kerana bintik demam campak tidak berair.

#3. Risiko waktu jangkitan

Untuk demam campak, risiko jangkitan adalah seminggu sebelum timbul ruam sehingga 4 hari kemudian. Cacar air pula adalah pada 1-2 hari sebelum ruam timbul sehingga ruam kering.

#4. Tanda-tanda

Demam merupakan tanda awal bagi kedua-dua penyakit. Untuk cacar air, selepas 10-12 hari dijangkiti, suhu demam mulai tinggi, sakit otot, batuk, selesema, sakit tekak. Mata juga berair dan sensitif terhadap cahaya. Demam panas juga akan dialami ketika ruam campak timbul.

Demam campak pula, sesetengah orang sahaja yang akan mengalami demam dan lesu badan lima hari sebelum ruam muncul.

#4. Ruam

Ruam kulit demam campak berwarna kemerahan dan sedikit timbul, tidak mempunyai gelembung air dan tidak gatal. Ruam akan mula tumbuh pada muka, kemudian kepala, badan, tangan dan akhirnya kaki. Ia akan kekal sehingga 4-7 hari.

(Demam campak) MedicalNewsToday

Ruam cacar air pula timbul seakan bintik merah kecil dan menyebabkan gatal seluruh badan termasuk mulut. Ia mulai tumbuh pada dada dan bahagian belakang kemudian merebak kepada muka, kepala, lengan dan kaki.

(Cacar air) MyHEALTH

Dalam masa 24 jam, ruam akan hasilkan gelembung kemudian pecah dan kering dalam masa 4-5 hari.
Bintik-bintik baru juga boleh timbul dan hanya akan hilang selepas 2 minggu.

#5. Rawatan

Buat masa ini, masih tiada rawatan khusus untuk demam campak tetapi doktor ada menyarankan beberapa panduan untuk mengurangkan gejala, contohnya pengambilan ubat tahan sakit (paracetamol) untuk mengurangkan demam, selain elakkan terkena cahaya agar mata tidak sakit.

Ruam juga akan sembuh dengan sendirinya dan tidak perlu dirawat. Bagi cacar air pula, doktor sarankan ubat sapu dan ubat gatal untuk ruam.

#6. Pencegahan

Program Imunisasi Kebangsaan, dapat mencegah demam campak dengan serta merta namun kanak-kanak masih terdedah dengan risiko apabila berada dengan kanak-kanak lain yang tidak disuntik atau warga asing.

Suntikan imunisasi MMR (campak, beguk dan rubella) boleh diberikan kepada bayi berusia 12 bulan dan ketika 7 tahun. Cacar air juga punya vaksinnya tersendiri iaitu suntikan vaksin imun ‘varicella’, tetapi ia tidak diwartakan lagi oleh kerajaan dan hanya boleh didapati di klinik swasta.

#7. Komplikasi

Kebiasaannya, kedua-dua penyakit ini akan sembuh semula. Namun, pesakit campak yang kekurangan zat dan memiliki sistem imun yang lemah berisiko untuk menghadapi komplikasi seperti jangkitan pada telinga, paru-paru (pneumonia), otak (encaphalitis) dan cirit birit.

Untuk cacar air pula, jangkitan ini akan menghasilkan imuniti seumur hidup. Sungguhpun begitu, virus berkenaan bersembunyi dan berulang sebagai kayap serta membawa kepada komplikasi lain seperti jangkitan kuman pada kulit, jangkitan pada darah, radang paru-paru, dan keradangan otak.

Jadi, sebagai ibu bapa anda harus sentiasa peka akan tahap kesihatan anak-anak. Elakkan menghantar anak ke sekolah atau pusat jagaan mengikut tempoh seperti di atas (bergantung kepada penyakit) bagi menghindari terkena jangkitan.

Amalkan minum air dengan mencukupi selain makan makanan berkhasiat agar segera pulih seperti sediakala. Basuh tangan sebelum dan selepas makan serta selepas bermain dengan rakan-rakan.

Sumber: MedicalNewsToday

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular