KUCHING – Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Jabatan Kesihatan Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana premis dan kediaman yang didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes berikutan kes wabak denggi yang semakin meningkat di negeri itu. Kompaun RM500 akan dikenakan bagi setiap jentik-jentik yang ditemui di bawah peruntukan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Kes denggi meningkat di Sarawak dengan 700 kes yang telah direkodkan pada separuh pertama tahun ini.

Pexels /Gambar Hiasan

New Straits Times melaporkan Kampung Ajibah Abol di Kuching adalah tempat panas pembiakan nyamuk Aedes terkini dengan kes denggi terbaru di mana 42 kes telah dilaporkan dari 13 Mei hingga 17 Jun.

Sebab-sebab yang dilaporkan mengapa wabak denggi mencatatkan peningkatan di Kampung Ajibah Abol adalah cara pelupusan sampah yang tidak betul, membuang sampah di rumah kedai kosong, serta saluran air yang tersumbat. Oleh itu, jurucakap Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Mohd Daniel Salim meminta kerjasama daripada masyarakat setempat untuk menyingkirkan nyamuk Aedes dan membasmi penularan wabak demam denggi dengan kadar segera.

Gambar Hiasan| MARVIN RECINOS/AFP/Getty Images

Pemeriksaan dari Jabatan Kesihatan Negeri akan dilakukan di tempat panas pembiakan nyamuk Aedes yang berkuat kuasa mulai 22 Jun dan seterusnya.

Dr Mohd Daniel Salim yang merupakan Pegawai Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Jabatan Kesihatan Sarawak Bahagian Kuching, juga mengumumkan bahawa denda RM500 akan dikeluarkan sekiranya jentik-jentik atau larva nyamuk Aedes ditemui di premis atau kediaman pemilik.

Gambar Hiasan| Joe Raedle/Getty Images

Menurut See Hua Daily, denda sebanyak RM500 akan dikenakan untuk setiap jentik-jentik yang ditemui. Maka sekiranya terdapat 10 jentik-jentik yang ditemui di kediaman atau premis anda, denda sebanyak RM5,000 akan dikenakan.

Justeru, penduduk di kawasan yang terlibat dengan peningkatan wabak demam denggi dinasihatkan untuk membersihkan persekitaran dengan kerap dan memastikan tiada air bertakung serta longgokan sampah sarap ditemui yang akan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Sumber : New Straits Times , See Hua Daily

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular