DARWIN – Penduduk bahagian tengah Darwin, di utara Australia telah diarahkan berpindah keluar berikutan gegaran gempa bumi yang berlaku di Laut Banda, Indonesia dengan magnitud 7.2 pada kira-kira jam 12.30 tengah hari waktu tempatan.

Menurut Geoscience Australia, gempa bumi berasal dari Laut Banda pada kedalaman 207 kilometer turut menggegarkan Darwin yang terletak kira-kira 700 kilometer dari pusat gegaran.

EMSC

Biro Meteorologi Australia mengatakan tiada ancaman tsunami dikeluarkan di Australia, dan Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengatakan gempa bumi terlalu dalam untuk membentuk tsunami.

Tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan di Darwin. Gempa bumi menggegarkan bangunan CBD Darwin dengan beberapa hotel dan perniagaan telah dipindahkan, selepas gegaran dirasakan selama kira-kira lima minit.

Geoscience Australia

Salah seorang penduduk Darwin, Kavinda Weerachandra, berkata dia sedang bekerja dari rumah ketika ‘semuanya mula bergegar’.

“Saya tidak memikirkan ia gempa bumi pada mulanya tetapi apabila tiba-tiba ia semakin kuat, saya dapat mendengar serta merasai rumah saya bergetar dan bergoncang. Beberapa benda di atas meja mula jatuh dan saya menjadi bimbang,” katanya.

Weerachandra berkata gempa bumi itu berterusan selama kira-kira lima minit. Ia meninggalkan kesan retakan di dinding rumahnya.

Pekerja pejabat dilihat keluar dan berada di luar bangunan di sekitar Darwin selepas merasakan gegaran gempa bumi tersebut.

@rj_baird/Twitter

Seorang pekerja, Robyn, berkata tiada penggera yang berbunyi tetapi para pekerja telah memutuskan untuk keluar dari bangunan. Robyn berkata ini adalah gempa paling kuat yang pernah dirasakannya di Darwin.

Gempa bumi juga turut dirasai sejauh ke rantau Kimberley di Barat Australia.

Sementara di Indonesia, gempa bumi tersebut dirasai di beberapa bahagian di Indonesia dan ibukota Dili di Timor Leste tetapi tiada kerosakan dan kecederaan dilaporkan.

Agensi geofizik Indonesia mengatakan gempa bumi adalah mendalam dan tidak menyebabkan tsunami.

Gempa bumi Laut Banda direkodkan beberapa minit selepas gempa bumi dengan magnitud 6.1 dilaporkan di kawasan kurang berpenduduk kira-kira 233 kilometer di barat bandar Abepura, Papua pada kedalaman 20 kilometer.

Bureau of Meteorology, Australia/ Twitter

Ketua pusat gempa bumi dan tsunami Indonesia, Rahmat Triyono berkata gempa bumi diikuti oleh beberapa gempa susulan yang lebih kecil, tetapi tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan utama oleh penduduk yang terjejas.

Indonesia terdedah kepada kejadian gempa bumi , letusan gunung berapi dan tsunami kerana lokasinya yang terletak di jajaran Lingkaran Api Pasifik.

Sumber : Bureau of Meteorology, Australia/ Twitter , Stuff New Zealand

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular