KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang pernah mendapat perhatian ramai selepas rakaman video perbuatannya merompak dan mencederakan seorang wanita di dalam lif Stesen Transit Aliran Massa MRT tersebar di media sosial pada Februari lalu, akhirnya menerima padah apabila dihukum penjara selama 18 tahun dan 5 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim, Mahyon Talib menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap seorang pembaiki penyaman udara, G Thinathayaalan kerana melakukan rompakan dengan sengaja sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang pengurus bank di dalam lif MRT Taman Mutiara, Cheras pada Februari lalu.

Hukuman berkenaan dibuat selepas tertuduh selesai memberi keterangan membela diri berhubung kes itu yang tular dalam media sosial.

Tertuduh yang memakai baju-T hitam didakwa melakukan rompak dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Lee Meei Shan, 48, dengan melarikan kad pengenalan, lesen memandu, dua kad ATM bank, dua kad kredit bank dan wang tunai RM400, di dalam lif Stesen MRT Taman Mutiara pada jam 6.45 pagi, 14 Februari lalu.

Lelaki berusia 26 tahun itu juga didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri, memohon mahkamah mengenakan hukuman berat atas kesalahan merompak dilakukan tertuduh sebagai pengajaran kerana mengambil kira kesalahan serius tertuduh

“Kes ini menjadi tular dan mendapat perhatian masyarakat dan tindakan tertuduh merompak secara kejam juga perlu diambil kira oleh mahkamah.

“Mangsa cedera di bahagian kepala, muka dan badan, dan sehingga kini masih trauma serta perbuatan ini sangat tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Tertuduh bagaimanapun tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman diringankan.

Sepanjang perbicaraan sejak 29 April lalu, 9 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan.

Pada 14 Februari lalu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular melalui media sosial yang memaparkan seorang wanita dirompak dalam lif Stesen MRT Taman Mutiara.

Berdasarkan rakaman berdurasi 55 saat itu, mangsa membawa beg tangan dilihat masuk ke dalam lif diikuti seorang lelaki yang kemudian terus menyerang wanita berkenaan dengan menumbuknya di muka sehingga jatuh.

Lebih menyedihkan, belum sempat pintu lif ditutup, suspek dilihat terus menyerang mangsa dengan menumbuknya di muka menyebabkan mangsa jatuh.

Sumber: Berita Harian, msn.com

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular