KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) raih pencapaian terbaik apabila berada di kedudukan ke-70 dalam senarai yang diterbitkan oleh QS World University Rankings. Pencapaian pada kali ini dikatakan yang terbaik sejak tahun 2012 memandangkan kedudukan UM yang melonjak sebanyak 17 tempat berbanding tempat ke-87 pada tahun lepas.

Berdasarkan enam kriteria yang diambil kira iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, pelajar fakulti, penulisan ilmiah fakulti, fakulti antarabangsa dan pelajar antarabangsa, UM telah berjaya memperoleh skor keseluruhan sebanyak 67.1.

Universiti tertua di Malaysia ini juga telah meneruskan kecemerlangan dengan menduduki tempat ke-18 di Asia sekali gus menjadikannya sebagai pencapaian sebanyak enam kali berturut-turut dan dua kali berturut-turut dalam kedudukan 100 terbaik dunia.

Malaysia Kini

Menurut laporan Malaysia Kini, universiti awam yang terkemuka di negara itu berada pada kedudukan 167 pada tahun 2014. Semenjak itu, kedudukan universiti dalam senarai berkenaan terus meningkat dari tahun ke tahun.

Ben Sowter iaitu Pengarah Penyelidikan QS memaklumkan sistem pendidikan tinggi di Malaysia telah menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik pada edisi ke-16 ini. Bagaimanapun, universiti-universiti di seluruh negara perlulah sentiasa menggandakan usaha dalam menghasilkan kajian penyelidikan berimpak tinggi untuk bersaing dengan universiti di peringkat serantau mahupun global.

Sementara itu, institut pengajian awam yang mencatatkan kedudukan kedua tertinggi di Malaysia adalah Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kedudukan di tempat ke-159.

QS menegaskan bahawa keputusan yang dicatatkan ini adalah berdasarkan analisis terhadap 94,000 ahli akademik, 44,000 pengurus penggajian, 11.8 juta kertas ilmiah, 100 juta penyelidikan dan 23 juta pelajar serta dua juta fakulti.

BH Online

20 institusi pendidikan tinggi (IPT) sama ada awam mahupun swasta di Malaysia telah disenaraikan dalam kedudukan 1,000 universiti terbaik dunia. Dalam jumlah berkenaan, 1o daripada mencatatkan peningkatan, dua kekal di kedudukan yang sama seperti tahun lepas, tujuh penyertaan baharu dan satu penurunan.

Di Asia, dua buah universiti di Singapura iaitu Nanyang Technological University (NTU) dan National University of Singapore (NUS) telah mencatat kedudukan ke-11 dunia manakala Massachusettes Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat terus mengungguli rekod universiti terbaik dunia untuk kali kelapan berturut-turut.

Sumber: BH OnlineMalaysia Kini

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI NASIONAL

Video Popular