ALOR SETAR – Susulan kes tembakan yang dilakukan oleh seorang anggota polis trafik sehingga menyebabkan seorang lelaki cedera parah pada bahagian lengan kirinya, maka siasatan secara profesional akan dijalankan oleh pihak polis berkenaan dengan insiden yang berlaku di kejadian di Jalan Lencong Timur pada Rabu lalu.

Datuk Zainuddin Yaacob selaku Ketua Polis Kedah menjelaskan bahawa siasatan secara profesional, telus dan adil itu adalah bagi memastikan bahawa tiada pihak yang teraniaya dalam kejadian tersebut. “Siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku apabila dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Modenas telah melanggar lampu isyarat di Taman Pelangi, Jalan Kuala Kedah sebelum dikejar oleh anggota polis berkenaan yang berada di kawasan tersebut.

“Dua lelaki terbabit enggan memberhentikan motosikal dan terus menunggang secara berbahaya termasuk melanggar beberapa lagi lampu isyarat selain menghimpit motosikal yang dinaiki anggota polis dalam cubaan untuk melarikan diri,” menurut kenyataannya.

Justeru, dengan tujuan untuk memberhentikan motorsikal berkenaan, anggota polis terbabit telah melepaskan satu tembakan yang disasarkan kepada tayar belakang motorsikal itu.

“Keputusan tersebut diambil ekoran tindakan dua lelaki berkenaan yang agak mencurigakan kerana enggan memberhentikan motorsikal mereka, selain berupaya mendatangkan bahaya kepada anggota polis dan orang awam. Selepas motorsikal itu berhenti dan pemeriksaan dijalankan, anggota polis trafik itu mendapati bahawa tembakan yang dilepaskan terkena pada lengan kiri pembonceng,” tambahnya.

Mangsa, Mohd Alif Anuar yang berusia 21 tahun dikatakan membonceng motorsikal yang ditunggang oleh rakannya, Zulhilmi Azri, 22 tahun, sedang dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Alor Mengkudu, untuk bekerja.

Rakan mangsa mendakwa mangsa telah ditembak oleh anggota polis trafik yang cuba memberhentikan motosikal dinaiki mereka yang sebelum itu melanggar lampu isyarat merah di jalan tersebut.

Sumber: BERNAMA

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular