Tiada apa yang lebih melegakan daripada kenikmatan secawan teh panas yang lazat setelah seharian bekerja. Budaya teh ini telah diamalkan sejak sekian lamanya dan kini menjadi satu perniagaan yang berkembang pesat!

Tradisi teh dikatakan pertama kali dihidangkan di Jepun oleh Maharaja Shomu pada tahun 729 iaitu semasa perayaan Buddha yang istimewa. Pada awalnya, teh seringkali dijamu sebagai perubatan. Hanya pada akhir abad ke-16, teh telah menjadi satu minuman yang boleh dinikmati oleh golongan diraja mahupun rakyat biasa namun pada peristiwa-peristiwa tertentu sahaja.

Kemudian pada tahun 1859, adat minum teh tidak lagi dijadikan sebagai tradisi wajib semasa peristiwa istimewa sebaliknya boleh dinikmati pada hari-hari biasa.

Meskipun teh telah lama wujud di dunia ini, rekaan uncang teh boleh dikatakan tidak mengalami banyak perubahan.

Bagaimanapun, di zaman yang serba canggih ini, sebuah syarikat di Jepun telah mengambil pendekatan kreatif dalam pembungkusan uncang teh…

Memperkenalkan Ocean Teabag, syarikat dari Jepun yang telah menghasilkan pelbagai uncang teh yang comel sehingga pasti membuatkan anda lebih tergila-gila untuk menikmati teh selepas ini.

Syarikat Ocean Teabag dengan kerjasama kedai menjual barang aneh dan ganjil serta kedai buku Village Vanguard telah mencipta beberapa siri uncang teh yang bertemakan hidupan fauna sama ada di laut dan di darat.

Antara uncang teh yang boleh didapati adalah obor-obor, sotong kurita, isopod (kutu laut), tanuki (anjing rakun Jepun), penguin dan sebagainya. 

Selain daripada bentuknya yang comel, uncang teh ini juga dicipta agar kelihatan seperti berenang-renang di dalam cawan teh anda. Dalam erti kata yang lebih mudah, uncang teh ini akan kelihatan ‘hidup’ sebaik sahaja dimasukkan ke dalam air panas!

Idea untuk menghasilkan produk unik berkenaan telah dimulakan kira-kira tiga tahun yang lalu dan reka bentuknya yang pertama adalah ikan lumba-lumba.

Dengan harga sekitar RM70, anda kini boleh mendapatkan lebih 50 reka bentuk uncang teh yang comel-comel belaka yang dijual di laman sesawang mereka!

Uncang teh berbentuk sotong ini diisi dengan teh hitam Pu’er yang diinspirasikan daripada dakwat sotong. Teh ini juga mempunyai rasa buah pisang kaki yang manis. Sementara itu, uncang teh berbentuk sotong kurita pula dipenuhi dengan teh Keemun.

Apa kata anda cuba rasa teh unik daripada Ocean Teabag ini dan beritahu kami pengalaman anda!

Sumber: Bored Panda, Ocean Teabag

Maybe you're interested :

Share
Kategori: HIBURAN INSPIRASI Ria

Video Popular