NIEUWEGEIN: Empat suspek dikenal pasti sebagai perancang utama insiden pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014 sekali gus mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.

JOHN THYS/AFP/Getty Images

Kesemua suspek berkenaan didedahkan menerusi laporan Pasukan Penyiasat Bersama Antarabangsa (JIT) yang menyiasat insiden berkenaan, dalam satu sidang media di Belanda, pada 19 Jun yang lalu.

Mereka ialah Igor Gerkin, Sergey Dubinsky, Oieg Pulatov dari Russia manakala Leonid Kharchenko, seorang warganegara Ukraine yang bakal dihadapkan di mahkamah atas tuduhan membunuh pada 9 Mac tahun depan.

Kesemua suspek akan didakwa atas dua kesalahan iaitu atas sebab menjatuhkan pesawat MH17 dan membunuh 298 penumpang.

“Semuanya bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah Republik Rakyat Donetsk (PDR) ketika kejadian.

“Igor Girkin digelar ‘Menteri Pertahanan’ untuk wilayah Donetsk,” katanya yang dipetik Berita Harian.

JIT menjelaskan, tiga daripada suspek aktif dalam gerakan bersenjata.

“Pendakwa raya akan mendakwa empat suspek yang menjadi perancang utama di Mahkamah Jenayah Belanda pada 9 Mac 2020,” katanya.

JOHN THYS/AFP/Getty Images

Keempat-empat suspek terlibat dalam usaha mendapatkan sistem BUK TELAR yang melancarkan peluru berpandu 9M38 – punca nahas pesawat MH17.

BUK TELAR diperolehi dari Persekutuan Rusia dan dibawa ke satu tapak pertanian berdekatan dengan bandar Pervomaiskyi di Timur Ukraine, iaitu lokasi pelancaran peluru berpandu tersebut.

JOHN THYS/AFP/Getty Images

Menuruti JIT, suspek pertama dari Rusia, iaitu Igor Vsevolodovich Girkin, 49 tahun dan dikenali sebagai Strelkov atau Perviy.

Girkin merupakan bekas kolonel FSB, iaitu Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia.

Pada 17 Julai 2014, Girkin merupakan ‘Menteri Pertahanan’ dan komander tentera di satu kawasan yang diisytiharkan sendiri sebagai Republik Rakyat Donetsk.

Walaupun Donetsk, satu bandar di Timur Ukraine bukan secara rasmi ditetapkan sebagai kawasan bebas, namun ia ditadbir oleh ‘Perdana Menteri’ serta kabinet menteri dan tenteranya sendiri.

Manakala, suspek kedua dikenali sebagai Surgey Nikolayevish DubinskIy, atau lebih dikenali Khmuriy, merupakan bekas pegawai tentera GRU, iaitu perkhidmatan perisikan tentera Rusia.

Pada 2014, DubsinkIy, 57 tahun menjadi salah seorang timbalan bawah Girkin serta ketua perkhidmatan perisikan di Republik Rakyat Donetsk.

JOHN THYS/AFP/Getty Images

Seperti Girkin, DubinskIy turut dilaporkan mengekalkan komunikasi bersama pegawai di Rusia.

Sementara itu, suspek ketiga Oleg Pulatov, atau nama samarannya Giurza dari Rusia merupakan bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU, satu unit khas sebahagian daripada perkhidmatan perisikan tentera Rusia.

Lelaki berusia 53 tahun itu memainkan peranan sebagai Timbalan Ketua perkhidmatan perisikan di Republik Rakyat Donetsk serta salah seorang timbalan bawah Dubinsky.

Suspek terakhir, Leonid Kharchenko atau turut dikenali sebagai Krot, merupakan satu-satunya suspek warga Ukraine serta tidak mempunyai latar belakang dalam tentera.

Kharchenko mendapat arahan secara langsung daripada Dubinsky.

Pada 2014, warga Ukraine berusia 47 tahun itu menjadi komander bagi satu unit pertempuran di Donetsk.

Pada 17 Julai 2014, MH17 meletup di udara ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine.

Sumber: Berita Harian, Astro Awani

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL NASIONAL

Video Popular