Satu gempa bumi kuat dengan kekuatan 6.0 magnitud melanda wilayah Sichuan yang terletak di barat daya China pada Isnin malam, meragut sekurang-kurangnya 12 nyawa dan mencederakan 134 yang lain.

STR/AFP/Getty Images

Gempa bumi itu melanda daerah Changning di Yibin pada 17 Jun yang lalu pukul 10.55 malam Isnin (waktu Beijing), menurut pihak berkuasa tempatan.

Lebih 4,000 orang dipindahkan kerana sebilangan besar struktur bangunan telah rosak atau runtuh berikutan gempa bumi yang kuat.

Penyiaran negara CCTV menunjukkan rakaman penyelamat berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan. Imej lain menunjukkan seorang wanita diselamatkan daripada runtuhan struktur bangunan yang lain.

STR/AFP/Getty Images

Susulan itu juga, sebuah hotel yang terletak berhampiran pusat gegaran dilaporkan runtuh namun belum diketahui tahap mana kemusnahannya atau ada mereka yang maut akibatnya.

Gempa bumi itu juga telah menyebabkan rekahan besar di beberapa lebuh raya utama yang menghubungkan Yibin dan daerah Xuyong di bandar Luzhou terpaksa ditutup. Beberapa bahagian jalan lain juga telah disekat atau ditutup.

STR/AFP/Getty Images

Lebih 10,000 bilik dalam beberapa bangunan telah rosak manakala 12 lagi runtuh, menurut pihak berkuasa Yibin. Rumah yang didiami oleh lebih daripada 4,000 keluarga telah rosak di daerah Gong.

Sistem penggera amaran awal telah menerima isyarat di ibu kota wilayah Chengdu kira-kira satu minit sebelum gempa melanda, kata Xinhua. Amaran itu berbunyi 10 saat sebelum ia melanda Yibin. Tiga saat awal sebelum gempa bumi melanda dapat mengelakkan 14 peratus daripada kecederaan, kata Xinhua.

Google Map

Sembilan orang maut di Changning County dan tiga yang lain di Qixian County, kerajaan bandar Yibin berkata dalam akaun Twitter, angka kematian meningkat sebanyak enam dalam satu malam.

Penyelamat membawa keluar enam mayat dan tujuh mangsa dari runtuhan bangunan, katanya. Xinhua berkata lebih 50 orang dirawat di dua hospital.

STR/AFP/Getty Images

Usaha-usaha menyelamat sedang dilakukan. Lebih 500 anggota bomba telah dihantar ke tempat kejadian. Kementerian Pengurusan Kecemasan telah mengaktifkan satu respons kecemasan dan menghantar satu pasukan kerja ke kawasan terjejas teruk untuk memberikan bimbingan dalam bantuan menyelamat dan bencana.

STR/AFP/Getty Images

Kementerian itu dan Pentadbiran Rizab Strategik dan Makanan Negara telah menghantar sejumlah 5,000 khemah, 10,000 tilam lipat dan 20,000 selimut ke kawasan yang dilanda gempa bumi.

Gegaran pertama itu disusuli dengan empat gegaran susulan dengan gegaran paling kuat dicatatkan adalah 5.1 magnitud yang berlaku dalam tempoh 40 minit.

STR/AFP/Getty Images

Laporan awal pusat pemantauan gempa Amerika Syarikat, US Geological Survey (USGS) mencatatkan kekuatan 5.8 magnitud dengan jangkaan kemusnahan teruk.

Gempa bumi sememangnya kerap berlaku di wilayah Sichuan. Dalam kejadian pada 2008, 87,000 kematian atau individu yang hilang dicatatkan selepas gempa dengan kekuatan 7.9 magnitud melanda wilayah itu.

Sumber: Channel News Asia

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular