SHAH ALAM – Jabatan Kesihatan Selangor mengingatkan pengguna supaya tidak membeli dan minum susu mentah atau yang tidak diproses dengan betul.

Gambar Hiasan|Pixabay

Pengarahnya Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata peringatan itu dikeluarkan berikutan kes susu kambing dari ladang di Pulau Indah dikesan mengandungi bakteria Brucella.

Datuk Dr Khalid berkata, “Sampel yang diambil dari ladang itu mendapati bahawa susu mengandungi bakteria Brucella serta melanggar Seksyen 13 (1) Akta Makanan 1983.” Katanya lagi, kejadian tersebut melibatkan lapan orang yang menunjukkan gejala selepas minum susu kambing dari ladang tersebut baru-baru ini.

Menurut Dr Khalid, pengambilan susu mentah adalah berisiko dalam kalangan individu yang mempunyai sistem imun yang rendah terutama golongan tua, wanita hamil dan kanak-kanak.

Beliau berkata susu mentah boleh tercemar kerana pencemaran atau jangkitan pada haiwan yang kemudiannya boleh menyebabkan penyakit kepada manusia.

Gambar Hiasan|Snapwire

Menurut Dr Khalid juga, komposisi susu segar merupakan medium yang baik untuk pertumbuhan bakteria berbahaya termasuk Brucella spp dan Mycrobacterium spp.

“Apabila membeli susu mentah, pastikan didihkannya terlebih dahulu sebelum meminumnya. Pengguna dinasihatkan untuk minum susu pasteur seperti susu yang mempunyai rawatan ultra-panas atau rawatan suhu ultra tinggi (UHT) selain mengambil perhatian tentang kaedah penyimpanan dan tarikh luput,” katanya.

Gambar Hiasan|Benjamin Lehman dari Pexels

Dr Khalid berkata jika pengguna menunjukkan gejala yang berkaitan dengan penggunaan susu mentah, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dengan segera.

Beliau juga memberi amaran kepada penjual dan pengeluar susu supaya mematuhi keperluan seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan 51 Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang melarang penjualan susu yang tidak diproses dan mematuhi kaedah yang ditetapkan.

Sumber: MALAYMAIL

Maybe you're interested :

Share

Video Popular