Bercerai susu adalah proses penting untuk kedua-dua ibu dan bayi bagi mendapatkan kehidupan keluarga yang lebih sihat dan gembira. ‘American Academy of Pediatrics’ menyarankan setiap ibu baru memberikan bayi penyusuan susu badan secara eksklusif untuk tempoh enam bulan pertama selepas kelahiran bayi, dan pemberian susu ibu diteruskan dengan gabungan makanan pejal sehinggalah bayi mencapai usia satu tahun.

Tidak mengapa jika ada ibu yang ingin meneruskan penyusuan badan selepas tempoh itu asalkan kedua-dua ibu dan bayi mahu. Permulaan untuk mula bercerai susu adalah keputusan peribadi seorang ibu.

Pexels/Gambar Hiasan

Pertama, fikirkan tentang keperluan anda dan bayi apabila mempertimbangkan untuk bercerai susu atau menghentikan penyusuan susu badan. Jangan membandingkan keadaan anda dengan ahli keluarga lain, dan anda juga boleh mempertimbangkan untuk meletakkan sebarang tempoh untuk bercerai susu apabila hamil semula dan menimang cahaya mata baru.

Berikut adalah beberapa teknik bercerai susu untuk bayi anda.

1. Jangan tawarkan dan jangan pula menolak

Kebanyakan ibu menganggap bahawa ‘jangan tawarkan, jangan menolak’ sebagai teknik bercerai susu yang paling lembut sekali memandangkan ia mengambil kira keperluan anak anda. Kaedah ini melibatkan ibu untuk tidak menawarkan penyusuan susu ibu kepada si manja, tetapi pada masa yang sama tidak menolak jika si kecil masih ingin menyusu. Ramai ibu secara semula jadi menggunakan kaedah ini apabila anak mereka semakin besar.

Walau bagaimanapun, memandangkan kaedah ini memerlukan masa yang lebih panjang berbanding kaedah bercerai susu yang lain, jadi anda tidak digalakkan untuk mempraktikkan kaedah ini sekiranya anda ingin segera bercerai susu.

2. Hentikan penyusuan pada satu-satu masa

Pastikan proses ini diselesaikan secara perlahan-lahan dan berperingkat supaya:

  • Payudara anda tidak sakit sehingga mengganggu kesihatan anda jika ingin menghentikan penyusuan.
  • Anak anda mempunyai masa untuk menyesuaikan diri dengan peralihan bercerai susu.

Untuk minggu pertama bercerai susu, anda boleh mula menawarkan penyusuan botol kepada anak anda sekali dalam sehari, dan terus menambah kekerapan pemberian susu botol selepas itu. Tawarkan kepada anak anda makanan kegemarannya semasa dia hendak menyusu badan, jadi si manja anda tidak akan rasa terlalu mendesak dan meragam.

Pexels/Gambar Hiasan

3. Minta bantuan orang lain

Bagi membuatkan anak anda berasa lebih selesa, adalah disarankan supaya anda menukar dengan kerap orang yang memberikan susu kepada anak anda. Contohnya, untuk beberapa botol pertama, anda minta suami atau ibu anda serta pengasuh untuk membantu anda memberikan susu botol dan makanan kepada si kecil. Anda juga boleh meminta mereka untuk menyuapkan si kecil dengan makanan atau minuman kegemaran mereka menggunakan sudu.

4. Terus mencuba sehingga berjaya bercerai susu

Semasa tempoh peralihan daripada penyusuan susu ibu kepada penyusuan botol, bayi anda mungkin akan mengalami beberapa ketidakselesaan. Oleh itu, anda perlu menukar botol dan puting beberapa kali sebelum bertemu kesesuaian penyusuan susu botol dengan bayi anda. Sesetengah bayi mungkin akan menyukai botol dan puting yang keluar laju sementara sesetengah yang lain sukakan yang lebih perlahan alirannya.

Jika bayi anda berusia lebih daripada sembilan bulan, anda boleh terus melangkah dengan pemberian susu botol dan terus mencuba untuk memberikan cawan sedut atau ‘sippy cup’. Namun, anda masih perlu mencari cawan sedut yang sesuai dengan bayi anda.

Pinterest/Gambar Hiasan

Bayi memerlukan susu yang mencukupi untuk membesar menjadi kanak-kanak yang sihat dan kuat. Seawal usia mereka lagi, susu ibu merupakan pilihan yang terbaik. Namun lama kelamaan, si ibu mungkin akan terpaksa memperkenalkan si kecil mereka dengan susu botol terutamanya yang berkerjaya.

Keadaan ini mungkin akan mengganggu bayi anda kerana mereka masih tidak dapat menerima kenyataan kerana terpaksa berpisah dengan sumber makanan dan minuman utama mereka. Bagaimana untuk mengatasi masalah ini?

Kumparan

Di bawah adalah petua mengajar anak anda meminum susu botol

1. Biasakan si kecil dengan puting botol

Cara ini dapat dilaksanakan dengan menyusukan bayi dengan susu badan yang telah diisi di dalam botol setiap kali selepas menyusu badan. Namun anda diingatkan untuk mengisi botol tersebut dengan susu dalam amaun yang sedikit sahaja. Ini hanyalah latihan untuk membiasakan bayi anda dengan puting yang bakal digunakan kelak.

2. Gunakan puting botol dengan lubang yang kecil

Bagi kebanyakan anak kecil terutamanya yang masih bayi, puting botol biasa dengan lubang yang besar akan menjadikan mereka lemas dengan susu. Bagi peringkat awal, gunakan puting botol dengan lubang yang kecil terlebih dahulu.

3. Pastikan susu yang ada digunakan adalah segar

Sebaiknya, anda gunakan susu yang segar  iaitu susu yang baru sahaja dipam daripada payudara anda dan belum dibekukan. Konsepnya sama sahaja seperti makanan yang kita makan. Bayangkan makanan yang baru sahaja dimasak, dimasukkan ke dalam mulut. Begitu juga halnya dengan susu badan.

Shutterstock/Gambar Hiasan

4. Pastikan posisi menyusu yang betul

Ini sangat penting untuk memastikan bayi dan anda sendiri berasa selesa. Sebagai contoh, anda boleh meletakkan bayi pada posisi seperti mana menyusukan bayi dengan susu badan. Paling penting, anda perlu memastikan kepala mereka berada pada kedudukan yang agak tinggi untuk mengelakkan bayi tersedak.

5. Berikan susu ketika si kecil belum lapar

Anda diingatkan untuk tidak memberi susu ketika bayi sedang berasa lapar. Ini untuk mengelakkan mereka daripada mengamuk dan langsung hilang minat untuk menyusu. Jadi, berikan susu kepada mereka apabila bayi berada dalam keadaan yang tenang dan aman.

Dr Brown’s /Gambar Hiasan

6. Biarkan individu lain menyusukan si kecil bagi pihak anda

Jika si ibu menggunakan susu botol untuk menyusukan bayi, ia hanya akan mendatangkan kekeliruan kepada si kecil kerana mereka menjangkakan untuk menyusu badan. Oleh itu, anda boleh meminta bantuan individu lain yang rapat dengan anda terutamanya pasangan untuk melakukannya bagi pihak anda.

7. Jauhkan diri anda daripada si kecil

Bayi boleh mengesan bau ibunya walaupun anda berada di dalam bilik yang bersebelahan dengannya. Oleh itu, si ibu perlu menjauhkan diri anda buat seketika ketika individu lain sedang menyusukan bayi anda dengan susu botol bagi mengelakkan berlaku kekeliruan.

Pexels/Gambar Hiasan

Diharap semua petua ini memberi info bermanfaat. Selamat mencuba!

Sumber : Hello Doktor

Maybe you're interested :

Share

Video Popular