Seorang netizen dari Brazil bernama Fellipe Amorim tidak menyangka akan terserempak dengan seorang pemuda kelainan upaya yang gigih bekerja bersama syarikat Uber. Pada hari itu, Fellipe terlihat pemuda ini yang berkaki satu sambil bertongkat menunggu dengan sabar seorang pelanggan Uber Eats di hadapan pintu pangsapuri dengan makanan yang digalas di belakangnya. Fellipe berasa amat tersentuh lalu mengambil gambarnya dan memuat naik di laman media sosial.

Fellipe berkata pekerja penghantaran makanan ini telah berdiri di hadapan pintu masuk pangsapuri itu dalam jangka masa yang agak lama. Kemudian, seorang wanita telah turun dan mangambil pesanannya. Fellipe berasa amat tersentuh dengan kesabaran pekerja OKU ini lalu telah mengambil gambarnya.

fellipeamorim/Instagram

Dalam kapsyen gambar itu di media sosial, Fellipe menulis, “Hari ini, saya melihat kejadian ini, yang membuat saya berfikir dengan mendalam, betapa banyak kita mengeluh dan memberi alasan. Berapa kali kita mahukan impian itu datang bergolek dengan mudah? Saya melihat insiden ini, dan saya dapati sebenarnya kita semua tidak perlu mengeluh dan perlu sentiasa bersyukur. Saya tidak mengenali kamu, tetapi saya doakan semoga Tuhan sentiasa memberkati kamu!”

Gambar ini kemudian telah mendapat perhatian netizen yang rata-rata berasa tersentuh dan mengagumi kegigihan pekerja penghantaran makanan ini. Selepas diselidiki, mereka mendapat tahu pekerja Uber Eats ini bernama Carlos André dos Santos Lopes yang baru berusia 19 tahun.

Ketika usianya 5 tahun, Carlos telah kehilangan kaki kirinya akibat serangan penyakit. Carlos mendapat tahu Uber menawarkan pekerjaan kepada golongan kelainan upaya untuk servis penghantaran makanan Uber Eats dan mengambil peluang tersebut untuk mencubanya kerana merasakan beliau berkelayakan untuk jawatan itu.

Semasa gambarnya dirakam oleh Fellipe, Carlos baru sahaja bekerja dengan Uber Eats selama 3 hari. Fellipe dan Carlos tidak menyangka gambar tersebut akan menyentuh hati ramai orang dan menjadi tular. Carlos berkata, beliau berimpian  mengumpul wang dan membeli sebuah kereta untuk menjadi pemandu Uber demi mengubah taraf kehidupannya.

fellipeamorim/Instagram

Seorang netizen mendapat tahu impian Carlos lalu telah membuka satu laman khas yang mengumpul dana untuk mendapatkan Carlos sebuah kereta dan kaki prostetik baru untuknya. Dalam masa kurang 24 jam, sasaran dana tersebut telah berjaya dikumpulkan bagi merealisasikan impian Carlos.

Selepas berita Carlos menjadi tular, Fellipe telah bertemu Carlos dan mereka menjadi sahabat. Fellipe mengucapkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada semua netizen yang telah menderma untuk membantu kehidupan Carlos. Kata Fellipe, “Terima kasih kepada semua yang telah membantu Carlos mencapai impiannya. Saya berasa amat bertuah bertemu dengannya. Carlos berhak ke atas semua ganjaran ini. Kita semua perlu belajar daripadanya.” Sementara Carlos pula berkata, “Saya telah bertemu Fellipe. Dia juga menemui keluarga saya. Kami kini menjadi sahabat dan saya berterima kasih kepadanya di atas segala-galanya.”

Carlos André masih lagi menunggang basikal dan menghantar makanan bersama Uber Eats. Tidak lama lagi Carlos akan menerima kereta barunya dan akan menjadi pemandu Uber. Dengan bantuan orang ramai yang pemurah serta berhati mulia, kehidupan seorang anak muda yang gigih berusaha akan menjadi cerah dan mempunyai masa depan yang lebih baik.

Sumber: fellipeamorim/Instagram , Cocomy

Maybe you're interested :

Share

Video Popular