KUALA LUMPUR – Pemanah recurve negara, Suresh Selvathamby dinobatkan juara dalam acara recurve lelaki terbuka dalam Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 di Hertogenbosch, Belanda.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan dirinya ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pemanah berusia 25 tahun itu, memperoleh pingat emas selepas berjaya menumpaskan wakil Amerika Syarikat, Eric Bennett 7-3 dalam aksi final recurve individu lelaki.

Terdahulu, beliau menewaskan Bato Tsydendorzhiev dari Rusia, 7-3 di separuh akhir.

Kejayaan yang dicipta Suresh itu merupakan kejayaan baru Malaysia selepas kali terakhir meraih pingat pada kejohanan berkenaan adalah menerusi Allahyarham Salam Sidek yang meraih gangsa dalam edisi 2011 di Turin, Itali

Sementara itu, jurulatih Memanah Para Kebangsaan, Marzuki Zakaria berkata, Suresh berhak ke atas gelaran dunia itu berdasarkan tumpuan dan kerja kerasnya sepanjang kejohanan itu.

“Kami di sini sangat gembira dan bersyukur kepada Allah kerana sasaran kami tercapai, Suresh layak ke Paralimpik. Kejayaan menang emas ini adalah bonus bagi kami.

“Beliau telah melakukan yang terbaik dan saya sangat berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkannya hari ini. Beliau dilihat begitu tenang, memberi 120 peratus tumpuan dan tidak gentar, pada saya dia memang berhak dan layak menjadi juara dunia,” katanya yang dipetik Bernama.

Bulan lalu, Suresh memenangi pingat perak dalam acara recurve lelaki di Kejohanan Memanah Ranking Dunia Fazza di Dubai.

Sumber: Berita Harian, Bernama, FreeMalaysiaToday

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL SUKAN

Video Popular