Moshe Kai Cavalin dianggap dilahirkan dengan otak yang genius, namun terdapat faktor lain yang menjadi penyumbang kepada kejayaannya. Cavalin yang berdarah campuran, ibunya Taiwan dan bapanya Brazil berjaya melanjutkan pelajaran di kolej seawal usia 8 tahun dan diambil bekerja oleh NASA pada usia 17 tahun.

Ibu bapa Cavalin mengambil keputusan imigrasi ke Amerika Syarikat untuk memulakan hidup baru. Oleh disebabkan faktor imigran, sejak kanak-kanak lagi Cavalin telah diejek. Beliau juga pernah menerbitkan buku tentang kisahnya diejek oleh rakan sekelasnya.

Beliau menganggap bahawa kejayaannya tidak mempunyai apa-apa yang istimewa, faktor utamanya adalah pendidikan serta didikan oleh ibu bapanya dan usahanya sendiri.

Cavalin belajar di rumah sehingga usia 7 tahun dan berjaya menguasai ilmu trigonometri. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di East Los Angeles College pada usia 8 tahun, yang menjadikannya pelajar kolej termuda di Amerika Syarikat. Beliau mula menulis tentang autobiografinya pada usia 9 tahun, dan jualan bukunya begitu laris.

Pada usia 11 tahun, Cavalin berjaya menamatkan pengajiannya di East Los Angeles College dengan CGPA 4.0. Beliau juga pandai bermain piano serta menghadiri kelas mempertahankan diri. Profesor matematiknya dua tahun di East Los Angeles College berkata, “Saya fikir kebanyakan orang hanya berfikir dia seorang yang genius, mereka percaya ia hanya datang secara semula jadi. Dia sebenarnya bekerja lebih keras daripada, saya fikir, mana-mana pelajar lain yang pernah saya ajar.”

Pada mula masuk ke kolej, cita-citanya adalah menjadi ahli astrofizik, namun ianya berubah selepas menghadiri beberapa kelas fizik beliau menyedari bahawa minatnya terhadap astrofizik tidak begitu mendalam. Jadi, beliau mula mengembangkan minat yang lain iaitu dalam bidang kriptografi. Cavalin memutuskan untuk meneruskan minatnya dalam bidang sains komputer.

Beliau juga pernah memohon untuk bekerja dengan NASA pada usia 15 tahun, tetapi pihak NASA telah menolak permohonannya atas alasan pada waktu itu Cavalin terlalu muda.

Mentor dan penyelia Cavalin di NASA, Ricardo Arteaga, menjelaskan bahawa Cavalin adalah individu yang sempurna untuk projek yang melibatkan teknologi matematik, komputer dan pesawat: “Saya memerlukan seorang pelatih yang mengetahui perisian dan mengetahui algoritma matematik. Dan saya juga memerlukan juruterbang yang boleh menerbangkan pesawat Cessna.”

Pada masa itu, Cavalin juga menghadiri kelas dalam talian melalui Boston area’s Brandeis University untuk mendapatkan Ijazah Sarjana dalam bidang keselamatan siber. Walau bagaimanapun, beliau terpaksa beberapa kali menangguhkan pengajian kerana dia perlu menumpukan perhatian pada projeknya dengan NASA.

Selepas berjaya menamatkan Ijazah Sarjana dalam bidang keselamatan siber, Cavalin kemudiannya berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda perniagaan di Massachusetts Institute of Technology. Matlamat utama beliau adalah untuk membuka syarikat keselamatan sibernya sendiri.

Semasa di NASA, Cavalin menjalankan simulasi perlanggaran yang melibatkan kapal terbang dan dron. Beliau ditugaskan untuk mencari jalan penyelesaian untuk keselamatan. Walalupun dipanggil genius, Cavalin masih menganggap bahawa pencapaian dan kejayaannya adalah hasil didikan ibu bapanya, kerja keras, motivasi dan inspirasi. Cavalin tidak menganggap dirinya adalah genius.

Sumber: Cocomy

Maybe you're interested :

Share

Video Popular