Masihkah anda ingat akan dua ekor kucing comel yang cuba memasuki sebuah muzium di bandar Onomichi, Hiroshima sejak tahun 2016 lagi? Nampaknya mereka masih meneruskan lagi niat untuk memasuki muzium tersebut dan tidak pernah berputus asa.

Salah seekornya merupakan kucing berwarna hitam yang dikenali sebagai Ken-chan sementara seekor lagi berwarna jingga bernama Go-chan dan mereka berdua sering kali dilihat bersama-sama cuba untuk memasuki bangunan muzium sejak 3 tahun lepas. Sungguhpun begitu, niat mereka sering kali dihalang oleh pengawal keselamatan yang bertugas di sana.

Tetapi, kini nampaknya hidup Go-chan telah berubah dan tidak perlu lagi meneruskan cubaan memasuki muzium itu. Pada 17 Mei lalu, akaun Twitter rasmi muzium berkenaan ada memuat naik kenyataan yang mendedahkan bahawa dua ekor kucing terbabit bertemu seakan-akan tahu bahawa itu merupakan detik perpisahan mereka.

Kemudian pada 18 Mei, akaun itu sekali lagi memuat naik satu video yang menunjukkan Go-chan berlari di dalam kawasan muzium tersebut buat kali terakhir kerana kini Go-chan telah menemui rumahnya.

Sebelum Go-chan meninggalkan muzium itu, pihak muzium membuat keputusan untuk membenarkan Go-chan memasuki muzium. Sudah tentulah Go-chan sangat gembira ‘menjelajah’ muzium yang cuba dimasukinya bertahun-tahun!

Ken-chan sebenarnya merupakan seekor kucing yang dibela oleh sebuah restoran berdekatan dan Go-chan tidak mempunyai tuan, sehinggalah akhirnya Go-chan diambil bela.

Dua ekor kucing berkenaan sangat terkenal di muzium itu sehinggakan pihak muzium ada menghasilkan cenderamata berasaskan kucing-kucing itu dan ini membuatkan para pengunjung sangat menyukainya. Ianya sangat laris dan habis dijual.

Walaupun Ken-chan masih lagi melawat muzium tersebut, namun kaki tangan di sana merindui Go-chan, sehinggalah muncul seekor kucing lain pada 4 Jun lalu.

Kucing berkenaan bernama Kuu-chan dan dia sebenarnya mempunyai tuan yang tinggal berdekatan. Selama ini, Kuu-chan sentiasa menemani Ken-chan dan Go-chan, dan dia sudah dianggap seperti ibu kepada kedua-dua ekor kucing terbabit.

Walaupun Go-chan kini tidak lagi bersamanya, Ken-chan masih lagi cuba memasuki muzium itu. Akaun muzium itu juga ada memuat naik beberapa gambar Go-chan yang lama kerana rindu, selain berkongsikan beberapa khabar terbaru daripada Go-chan yang ternyata sangat gembira dengan kehidupan barunya – seekor kucing rumah!

Sumber: 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular