Seekor anak anjing laut yang terpisah daripada ibunya diselamatkan selepas ditemui sendirian di tepi jalan.

Anak anjing laut yang diberi nama Marshmallow itu kelihatan tidak bermaya selepas sehari suntuk mencari ibunya di sekitar pantai.

Pada hari pertama Marshmallow berada di pusat perlindungan, beratnya hanya 9 kilogram. Beberapa hari pertama selepas diselamatkan merupakan hari yang kritikal buat mereka. Pengurus penjagaan haiwan, Sam Brittain berkata, Marshmallow banyak tidur selepas beberapa hari diselamatkan.

Sam tidak mahu mengejutkannya daripada tidur, tetapi terpaksa dikejutkan untuk diberi rawatan kerana mahu Marshmallow kembali sihat.

Dilaporkan bahawa Marshmallow dilahirkan pramatang dan terpaksa diberi makan dengan menggunakan tiub. Marshmallow dikatakan sepatutnya masih berada di dalam kandungan ibunya. Misai Marshmallow masih pendek dan kecil.

Untuk membuatkannya kekal hangat, Sam meletakkan lampu khas untuk Marshmallow. Marshmallow perlu berada di pusat perlindungan tersebut dalam jangka masa yang agak lama untuknya benar-benar sihat dan matang untuk dilepaskan.

Petugas sukarelawan di pusat perlindungan itu bekerja keras dalam menyelamatkan dan memulihkan anjing laut yang memerlukan bantuan. Selepas sihat sepenuhnya, anjing-anjing laut akan dilepaskan semula ke habitat asal mereka.

Marshmallow merupakan salah seekor anjing laut yang diselamatkan oleh mereka. Marshmallow perlu diberi makan sebanyak empat kali sehari, setiap empat jam yang bermula pada pukul 8 pagi sehingga 8 malam.

Marshmallow banyak tidur seperti bayi manusia. Selepas dua hari, Marshmallow menunjukkan tanda-tanda positif. Selepas seminggu, Marshmallow dipindahkan ke tempat lain yang memiliki tab mandi supaya dapat berlatih berenang dan makan dengan sendiri.

Selepas sebulan, Marshmallow masih perlu makan dengan menggunakan tiub. Namun, hari demi hari, Marshmallow kelihatan semakin kuat dan diajar untuk makan dengan sendiri. Marshmallow dimasukkan ke dalam tab mandi dan diumpan dengan ikan supaya belajar bagaimana habitat asalnya berfungsi.

Pada satu hari, Marshmallow sudah mula pandai untuk makan dengan sendiri apabila dimasukkan ke dalam tab mandi. Pada hari ke 35, beratnya telah mencecah 14 kilogram dan pada hari ke 40, beratnya telah meningkat kepada 21 kilogram.

Apabila Marshmallow sudah cukup kuat, mereka membawanya keluar untuk menyesuaikan dirinya dengan persekitaran luar. Marshmallow perlu bersaing dengan anjing laut lain untuk menangkap ikan dan bersosial dengan anjing-anjing laut yang lain serta belajar kemahiran hidup asas.

Beratnya meningkat dengan lebih cepat berbanding dengan anjing-anjing laut yang lain. Ini menunjukkan bahawa Marshmallow makan ikan paling banyak.

Bermula dengan anak anjing laut yang kecil dan tidak bermaya, kini menjadi anjing laut yang kuat dan pandai berdikari. Akhirnya, Marshmallow sudah bersedia untuk dilepaskan ke habitat asalnya.

Pada hari ke 84, yang merupakan hari Marshmallow dilepaskan, beratnya adalah 35 kilogram. Berharap Marshmallow dapat bertahan hidup di habitat asalnya yang lebih mencabar.

Tonton video di bawah:

Sumber: The Dodo|Facebook

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona VIDEO

Video Popular