KOTA BHARU – Sebanyak 14 penduduk Orang Asli suku Batek di Gua Musang disahkan meninggal dunia sejak 2 Mei apabila masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Koh mendakwa menderita penyakit misteri.

Memetik Utusan Online, daripada jumlah berkenaan hanya dua disahkan meninggal dunia akibat jangkitan dan radang paru-paru atau Pneumonia berdasarkan bedah siasat manakala selebihnya dikebumikan di hutan sempadan Kelantan-Pahang.

Waytha Moorthy Ponnusamy|Facebook

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata, tiada komunikasi di antara penduduk dengan penghulu dan polis berikutan keadaan jarak perjalanan penempatan yang jauh di dalam hutan menyebabkan 12 penduduk Orang Asli yang meninggal dunia sejak 2 Mei lalu tidak diketahui.

Beliau berkata, dalam tempoh tersebut seramai 83 orang disahkan dijangkiti radang paru-paru, termasuk seorang wanita dan kanak-kanak yang kini berada dalam keadaan kritikal.

“Wanita berusia 36 tahun ini dirawat di Hospital Kuala Krai (HKK) manakala kanak-kanak berusia tiga tahun dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), kedua-dua mereka kritikal.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 37 orang dirawat sebagai pesakit luar manakala 32 orang dirawat di Hospital Gua Musang (HGM); 10 orang di HKK dan tiga lagi di Rumah Inap Kesihatan Asli (RIKA),” katanya.

Waytha Moorthy Ponnusamy|Facebook

Terdahulu, Moorthy diberikan taklimat berhubung kejadian tersebut di Cawangan Kawalan Penyakit Jabatan Kesihatan negeri.

Menurut beliau punca kejadian sebenar belum diketahui dan siasatan menyeluruh masih dijalankan.

“Tidak boleh buat spekulasi, punca kematian akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya.

Waytha Moorthy berkata, sebuah pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menangani masalah ini termasuk menjalankan siasatan secara mendalam.

“Pasukan ini merangkumi pakar dan kakitangan jabatan kesihatan, polis, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan agensi berkaitan.

“Penyakit ini boleh berjangkit, Jabatan Kesihatan menasihatkan mana-mana pihak yang ingin memberi bantuan kepada 186 orang penduduk Orang Asli suku kaum Batek ini supaya melalui Jakoa bagi mengelakan insiden yang tidak diingini,” katanya.

Kini, penduduk orang asli di Kampung Kuala Koh hidup dalam kebimbangan apabila seorang demi seorang ahli keluarga mereka meninggal dunia seolah-olah ‘menunggu masa kematian’.

Terdahulu, kira-kira 120 penduduk kampung sama membabitkan 30 keluarga diserang penyakit misteri apabila kulit mereka bersisik, bernanah dan berkudis sejak beberapa bulan lalu.

Sumber: Utusan Malaysia, Astro Awani

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular