JEMPOL: Sepasang suami isteri bersama anak lelaki mereka yang berusia 3 tahun ditemui mati dipercayai terkena panah petir di kandang kambing di Felda Palong, pada petang Selasa yang lalu.

Memetik Astro Awani, S. Elangovan, 38 tahun bersama isterinya, K. Kaliammah, 36 tahun, serta anak mereka E. Vinesh, ditemui mati kira-kira 4 petang di tempat kejadian manakala seorang lagi anaknya berusia 12 tahun terselamat namun melecur pada bahagian kaki.

Gambar Hiasan|Fiveprime

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, ketiga mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah sehingga 10 malam.

Keadaan tersebut menyebabkan ibu Elangovan melahirkan rasa bimbang sebelum mengadu kepada jirannya dan meminta bantuan mencari tiga beranak itu.

“Ibunya mengadu kepada rakan mangsa kerana risau hujan lebat dan petir pada waktu petang selepas mereka dikatakan pergi ke kandang terbabit untuk memasukkan kambing.

“Rakan mangsa telah pergi ke kandang tersebut dan terdengar tangisan seorang lagi anak mangsa dikenali sebagai Praven dengan kesan melecur pada bahagian kaki,” ujarnya.

The Star

Sementara itu, Muhd Nur Hishamuddin dalam satu kenyataan berkata, selain itu terdapat tiga individu terduduk dan terbaring kaku di kawasan kandang tersebut.

Tegas beliau pemeriksaan dalam kandang turut mendapati terdapat tujuh ekor kambing bergelimpangan dengan kesan terbakar pada bulu badan.

Selain itu, dua ekor anjing turut ditemui mati dengan kesan yang sama di bahagian bawah kandang kambing berkenaan.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, kerajaan Negeri Sembilan memberi sumbangan berjumlah RM6,000 kepada waris keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J Arul Kumar dalam kenyataan berkata, sumbangan itu diberi bagi membantu waris keluarga menguruskan pengebumian berkenaan.

“Ini adalah satu insiden yang amat menyedihkan apabila tiga daripada empat ahli keluarga telah meninggal dunia.

“Kerajaan Negeri Sembilan akan memberikan bantuan kewangan untuk membantu menyelesaikan urusan pengebumian tersebut, ” katanya.

Sumber: Astro Awani, Malaysiakini, Sinar Harian

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular