Waktu kelahiran adalah waktu yang ditunggu-tunggu buat bakal ibu dan ayah. Walaupun hati diasak dengan pelbagai perasaan dan gementar yang tiada hujungnya, momen tersebut juga adalah momen yang paling manis buat mereka. Sebelum tiba waktu bersalin kesemua ibu bapa akan melakukan persediaan, membeli segala keperluan bayi hinggalah kepada memilih hospital untuk ibu melahirkan.

Malaysia adalah antara negara yang menyediakan kemudahan paling efisien dan terbaik untuk bakal-bakal ibu melahirkan anak mereka. Bagi yang pernah melahirkan anak di Malaysia pastinya punya pengalaman tersendiri semasa berada di pusat perubatan atau hospital. Namun, tidak semua berkesempatan melahirkan anak di Malaysia kerana ada antara mereka yang bekerja atau belajar di luar negara.

Pernah anda terfikir bagaimana proses atau pengalaman melahirkan di luar negara? Ikuti perkongsian Abdul Halim yang menemani isterinya bersalin di salah sebuah hospital di United Kingdom (UK).

SEBELUM BERSALIN

Sebulan sebelum tarikh bersalin, wakil dari ‘social health’ akan datang ke rumah untuk memeriksa barang-barang keperluan bayi seperti kerusi bayi dalam kereta, katil, pakaian dan sebagainya. Jika ketika itu barang keperluan masih belum dibeli mereka akan datang semula seminggu selepas itu dan jika ketika itu masih tiada barang keperluan tindakan undang-undang akan dikenakan.

Jika mempunyai masalah kewangan, ibu bapa boleh terus memberitahu wakil ini dan mereka akan memberikan peruntukan kewangan untuk membeli barangan bayi. Apa yang paling penting ialah keperluan bayi lengkap sebelum dilahirkan.

Mereka juga akan bertanya mengenai persediaan bakal ibu bapa ini untuk menyambut bayi nanti. Apa yang akan dilakukan si suami selepas isteri melahirkan nanti, adakah suami akan membantu atau sebaliknya. Jika suami tidak membantu sehingga membuatkan isteri tidak gembira atau tertekan, mereka akan mencatat segala nota tersebut. Jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada isteri, si suami boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Tidak hanya itu, mereka juga memeriksa kebersihan rumah, bilik, dapur termasuklah haiwan peliharaan. Mengenai tempat kelahiran pula, mereka juga bertanya sama ada mahu bersalin di hospital, di rumah atau pun di pusat bersalin. Jika di hospital bakal ibu bapa boleh memilih sama ada untuk bersalin dalam air, atas katil atau bersalin secara pembedahan namun kaedah pembedahan adalah tidak digalakkan walaupun berlaku pendarahan. Mereka lebih menggalakan kepada melahirkan secara normal.

Bilik bersalin Hospital Universiti Manchester

Ibu boleh membuat pilihan asalkan ibu gembira dan tidak tertekan. Undang-undang di UK tidak memaksa ibu untuk bersalin di rumah, asalkan ibu selesa, mereka harus memberitahu bidan supaya pihak hospital boleh membantu.

MENUNGGU WAKTU BERSALIN

Bilik bersalin pula sangat selesa dilengkapi dengan televisyen, katil dan tempat mandi. Boleh makan dan minum juga di situ. Kebebasan diberikan kepada si ibu untuk buat apa sahaja sementara menunggu bukaan bersalin. Selain itu, suami boleh turut menemani isteri memandangkan seorang ibu akan mendapat satu bilik khas untuk dirinya sahaja.

Sepanjang kehamilan dan bersalin isteri pula, kesemuanya melibatkan bidan dan doktor perempuan sahaja, doktor-doktor pelatih tidak dibenarkan ada bersama ketika bersalin. Kalau ada pun, mereka akan meminta izin dari si ibu dahulu. Namun jika ibu tidak membenarkan, doktor pelatih tidak dibenarkan datang. Ternyata semua urusan bersalin hanya boleh dilakukan oleh bidan yang berpengalaman sahaja.

Bidan pula sentiasa menemani ibu yang bersalin, memberi kata-kata semangat sehingga bayi selamat dilahirkan. Jika ibu rasa hendak menjerit, jerit sekuat hati pun tidak mengapa kerana bidan tidak marah malah mereka menggalakkan ibu untuk berbuat begitu.

SELEPAS BERSALIN 

Keperluan bayi yang wajib ada dan jika tiada bayi tidak dibenarkan pulang

Mengenai suntikan vaksin pula, pihak hospital tidak boleh memaksa ibu bapa untuk melakukannya kerana itu adalah hak masing-masing. Pihak hospital menghormati mereka yang beragama Islam yang sememangnya tidak boleh mengambil apa-apa vaksin yang mengandungi khinzir.

Di sana juga tiada sekatan untuk melahirkan lagi walaupun anak-anak masih kecil. Ibu bapa bebas memiliki berapa orang anak yang mereka mahukan dan pihak kerajaan sedia untuk memberi bantuan sepenuhnya kepada sesiapa pun tanpa mengira bangsa, kaum atau agama.

Selepas bawa bayi pulang ke rumah, wakil ‘social health’ akan datang pada keesokan harinya untuk memeriksa bayi dan bertanya tentang kesihatan ibu. Mereka akan memastikan bayi dalam keadaan baik, tiada sebarang kecedaran atau penderaan dan jika ada automatik pihak polis akan merampas bayi daripada ibu bapanya.

Bayi pula tidak boleh tidur sekatil dengan ibu bapa dan harus tidur di atas katil khusus. Untuk pengetahuan semua, bayi yang tidur sekatil dengan ibu bapa adalah salah di sisi undang-undang di UK.

Apa yang menariknya juga ialah, bayi lelaki pula boleh disunatkan terus selepas sebulan dua tetapi jika bayi perempuan tidak boleh kerana bimbang akan diambil oleh pekerja sosial dan orang tua akan didakwa dan dipenjara.

Menurut Abdul Halim, mereka bukan sahaja mendapat barangan bayi secara percuma malah tidak dikenakan bayaran satu sen pun! Memang seronok kerana kebajikan ibu dan bayi amat dijaga dengan baik. Malaysia harus menjadikan UK contoh dalam hal seperti ini.

Sumber: Facebook | Abdul Halim

Maybe you're interested :

Share

Video Popular