Aiskrim merupakan salah satu sajian kegemaran ramai tidak kira sama ada tua mahupun muda. Ada pelbagai jenis aiskrim yang boleh dimakan dengan roti, biskut dan bermacam-macam lagi.

Di Tsukima, Hokkaido, Jepun terdapat sebuah kedai menjual aiskrim yang menjadi tular disebabkan oleh salah seorang pekerjanya yang menghasilkan ‘aiskrim kurang cantik’!

Kita biasa melihat alunan aiskrim lembut yang berpintal dengan sempurna. Namun, pekerja wanita ini menjadi bahan bualan ramai kerana hasil aiskrim buatannya bukan sahaja buruk tetapi amaunnya juga terlalu banyak dan hampir melimpah…

Ramai netizen mempersoalkan teknik yang digunakan oleh pekerja berkenaan sehingga wanita ini dijemput untuk menjadi tetamu dalam satu program ‘Getsuyou kara Yofukashi’.

Dalam temubual berkenaan, wanita yang dikenali sebagai Suzuki Sumiko ini telah menunjukkan bagaimana cara-cara yang dipraktikkannya untuk menghasilkan aiskrim ‘buruknya’ itu.

Ramai pelancong yang melawat untuk mencuba aiskrim yang tular tersebut.

Selepas beberapa bulan melayan pelancong yang semakin ramai, hasil aiskrim Suzuki kelihatan bertambah baik.

Akhirnya, dia berjaya menghasilkan aiskrim yang sempurna.

Masih ramai pelancong yang datang untuk membeli aiskrim ‘buruk’ seperti mana yang dilihat di televisyen itu, namun Suzuki tidak dapat lagi menghasilkan ‘karya’ tersebut.

Semasa kru penerbitan program berkunjung ke kedai untuk merakamkan satu lagi temubual bersama Suzuki, mereka mendapati pekerja itu telah pun berhenti kerja.

Sejak itu, pekerja-pekerja lain cuba berlatih bersungguh-sungguh untuk menghasilkan bentuk aiskrim yang sama seperti yang dihasilkan oleh Suzuki namun tidak berjaya.

Kata para pekerja, “Walaupun Suzuki bekerja semula, dia tidak akan mampu menghasilkan bentuk yang sama. Ini adalah seni yang terbentuk secara semulajadi”.

Lebih mendukacitakan lagi, sejak ketiadaan Suzuki, kedatangan pelanggan ke kedai itu dikatakan telah berkurangan. Nampaknya, ‘hasil air tangan’ Suzuki yang pada awalnya dikatakan buruk itu telah mendapat tempat di hati ramai. Malangnya, tiada siapa yang boleh mewarisi bakat semulajadi itu…

Sumber: halohalo-online

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Aneh INSPIRASI Ria

Video Popular