BANGKOK: Sejumlah 110 buah kedai di Pasar Minggu Chatuchak yang terkenal di Bangkok musnah dijilat api sekelip mata, semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Bangkok dalam satu kenyataan berkata, percikan api dipercayai bermula dari kawasan kedai pintu nombor satu kira-kira 9.30 malam waktu tempatan sebelum menyambar bahan mudah terbakar lain.

“Sejumlah 20 jentera dikerah di lokasi dan api berjaya dikawal kira-kira satu setengah jam kemudian.

“Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” kata kenyataan itu.

Pasukan forensik dari Pihak Berkuasa Elektrik Metropolitan (MEA) seterusnya menjalankan siasatan untuk menentukan punca sebenar kejadian.

Astro Awani

Semalam, polis tempatan memberitahu, pihaknya tidak menerima sebarang laporan tentang mangsa yang cedera.

Menurut laman web rasmi pasar tersebut, pintu nombor satu terletak berdekatan dengan bahagian jualan buku dan cenderamata, selain deretan kedai makan dan kafetaria.

Pasar Minggu Chatuchak adalah pasar terbesar di Thailand dengan mempunyai lebih 15,000 gerai.

Pasar minggu itu juga dikenali sebagai JJ Market merupakan satu daripada tarikan pelancong yang popular di sini dengan menjual pakaian, buku, aksesori rumah, makanan dan minuman, kosmetik dan barang antik.

Lebih 200,000 orang mengunjungi pasar itu setiap Sabtu dan Ahad.

Bernama

Sementara itu, pihak berkuasa Thailand akan membina semula sebahagian daripada pasar hujung minggu Chatuchak yang terbakar membabitkan kerugian dianggarkan sebanyak 6.6 juta Baht (RM876 747).

Gabenor Bangkok Pol Gen Aswin Kwanmuang, yang melawat tapak kebakaran awal pagi ini berkata, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) akan membina semula kawasan yang terjejas seluas kira-kira 1, 000 meter persegi, yang dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan.

“BMA akan menyalurkan ganti rugi berjumlah 10,000 Baht (RM1,328) kepada mereka yang terjejas,” katanya.

Buat masa ini, BMA akan menyediakan khemah sementara bagi pemilik gerai yang terjejas.

Sumber: Bernama, Astro Awani, Utusanborneo

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular