KOTA KINABALU:  Pemandu Grab, Mohd Hanafiee Jaffar,27, yang dilaporkan hilang Jumaat lalu, dipercayai disamun dan dibunuh selepas mayatnya ditemui di kawasan semak dekat pantai Kampung Shahbandar, Tuaran, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammmah berkata, hasil siasatan polis dan kerjasama daripada Grab, pihaknya berjaya mengesan  penumpang terakhir yang menggunakan khidmat Grab dipandu mangsa.

“Kita berjaya mengesan dan menahan dua lelaki di kawasan parkir 1 Borneo, di Kota Kinabalu, 9.50 semalam dan hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku membunuh mangsa sebelum membuang mayatnya di kawasan semak di Kampung Shahbandar, Tuaran,” katanya yang dipetik Berita Harian.

Terdahulu beliau membuat sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, dua penumpang terakhir itu dibawa pemandu berkenaan kira-kira 4 pagi, Jumaat lalu, dari Kingfisher ke Tuaran.

Katanya, kedua-dua suspek yang merupakan penumpang terakhir itu berusia 20 dan 24 tahun dan salah seorang daripadanya adalah warga asing.

“Kedua-dua mereka tidak memiliki pekerjaan dan kita juga mendapati wang milik pemandu juga lesap manakala barang lain masih dalam siasatan,”katanya.

Beliau berkata, polis akan memohon reman hari ini ke atas kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut.

“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hingga tiga hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang telah membengkak dan kita percaya kejadian itu dipercayai dilakukan pada 24 Mei lalu.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Semalam, polis Tuaran menemui mayat ekoran maklumat diberikan orang awam, menemui mayat seorang lelaki di kawasan Shahbandar.

Bagaimanapun, polis masih belum dapat mendedahkan sepenuhnya keperincian mangsa memandangkan keluarga mangsa dilaporkan belum dapat mengesahkan identiti mayat berkenaan.

Katanya kes ini masih dalam siasatan memandangkan mayat pemandu grab itu telah ditunjukkan kepada ahli keluarga namun mereka gagal melakukan pengecaman lagi kerana mayat mulai reput.

“Jadi, kita akan menggunakan kaedah lain menggunakan cap jari dan DNA untuk mengenal pasti sama ada mayat itu pemandu Grab terbabit.” katanya.

“Bagaimanapun berdasarkan pengakuan, kedua-dua suspek melakukan samun ke atas pemandu Grab sebelum membunuh mangsa,” katanya.

Sumber: Berita harian, Astro Awani

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular