NEW YORK – Kostum tradisional yang menarik, sepanduk berwarna-warni yang mengandungi mesej penuh harapan dan muzik pancaragam bergema mengiringi acara yang berlangsung di Manhattan pada 16 Mei lalu sempena memperingati Hari Falun Dafa Sedunia.

Falun Dafa juga dikenali sebagai Falun Gong, adalah amalan rohani yang diperkenalkan kepada umum pada tahun 1992, yang terdiri daripada amalan meditasi dan satu set ajaran moral yang berpegang kepada prinsip ‘Sejati, Baik, Sabar’.


Pengamal Falun Dafa berarak dengan menggunakan pakaian berkonsep bunga lotus semasa perarakan merayakan Hari Falun Dafa Sedunia di Manhattan, New York, pada 16 Mei 2019. (Edward Dye / The Epoch Times)

Walaupun ia diamalkan secara bebas di lebih daripada 80 buah negara, namun amalan ini telah mengalami penindasan di China mengakibatkan penganiayaan kejam yang dilakukan oleh rejim komunis China ke atas pengamal Falun Gong sejak hampir dua dekad yang lalu.

Hampir 10,000 pengamal Falun Dafa dari pelbagai negara di dunia berarak di Manhattan, dari United Nations Plaza di Jalan 47 dan Second Avenue, melalui Times Square dan akhirnya berakhir berhampiran konsulat China di 12th Avenue.

Perarakan itu adalah sempena meraikan amalan damai dan memperingati mereka yang sedang menderita dengan penganiayaan rejim di China.


Perarakan pancaragam Tian Guo, yang terdiri daripada pengamal Falun Dafa, berarak melalui Times Square di New York pada 16 Mei 2019. (Edward Dye / The Epoch Times)

“Kami mahu menunjukkan tenaga positif pengamal Falun Dafa,” kata Sofia Drevemo, pereka grafik 3-D dari Sweden.

Walaupun perarakan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang penganiayaan kejam yang sedang berlaku di China, Drevemo berkata para pengamal berharap melakukan semua ini bermula dari titik permulaan yang positif.

“Itulah sebabnya kami begitu bersemangat dan penuh warna-warni, kerana untuk membantu orang lain memahami kesukaran mereka, maka kami perlu lakukan dengan cara yang betul serta tingkah laku yang positif,” katanya.


Seorang pengamal Falun Dafa memakai pakaian tradisional Argentina semasa perarakan di Manhattan pada 16 Mei 2019. (Samira Bouaou / The Epoch Times)

Kehidupan Berubah

Sofia Drevemo dari Sweden di United Nations Plaza menjelang perarakan pada 16 Mei 2019. (Eva Fu / The Epoch Times)

Drevemo, yang memakai kemeja kuning dengan perkataan “Falun Dafa Is Good,” berkata latihan Falun Gong membantunya membina keyakinan diri yang teguh dan tidak akan hilang walau dalam keadaan apa pun, seperti mana yang dia selalu inginkan.

Katanya, “Sejak kecil, saya selalu inginkan untuk menjadi yakin dengan diri sendiri dan tidak akan menjadi rapuh dalam apa juga keadaan. Kini akhirnya saya telah memahami bahawa amalan ini akan membawa saya ke arah itu.”


Francisco La Russa, dari Buenos Aires, berpakaian tradisional, gaucho semasa perarakan Falun Dafa, di United Nations Plaza pada 16 Mei 2019. (Eva Fu / The Epoch Times)

Francisco La Russa, seorang penyunting video dari Buenos Aires, berkata kesihatannya bertambah baik selepas memulakan amalan tersebut pada tahun 2012. Dia sering mengalami sakit belakang, tetapi semua penyakitnya hilang dalam masa sebulan selepas mengamalkan latihan Falun Dafa.

Setelah membaca teks utama Falun Dafa, “Zhuan Falun,” La Russa menyedari amalan itu lebih daripada sekadar latihan fizikal.

“Amalan ini mempunyai prinsip yang sangat tulen dan amat mendalam untuk saya ikuti,” katanya.

La Russa berkata dia cuba menerapkan prinsip ‘Sejati, Baik, Sabar’ dalam kehidupan sehariannya untuk memperbaiki perwatakannya. Sebagai contoh, sebelum La Russa mula melakukan amalan ini, dia sangat sombong dan suka berbalah, tetapi ajaran Falun Dafa telah memberikan perspektif baharu kepadanya.


Peder Giertsen, dari Norway, memegang bendera negaranya di United Nations Plaza pada 16 Mei 2019. (Eva Fu / The Epoch Times)

Peder Giertsen, seorang perunding pengurusan yang telah bersara dari Norway mula mengamalkan latihan itu pada tahun 1999, berkata Falun Dafa mengajarnya untuk bersikap baik dan memikirkan tentang orang lain walaupun perkara tersebut kelihatan sukar untuk dilakukan.

Katanya, “Saya tidak lagi bermusuh dengan sesiapa pada hari ini tidak seperti saya yang dahulu, seorang yang kasar, tegas dan sukar dibawa berunding.”


Olivier Grenier-Leboeuf, anggota Pancaragam Tian Guo, di United Nations Plaza pada 16 Mei 2019. (Eva Fu / The Epoch Times)

Olivier Grenier-Leboeuf, seorang pelajar universiti jurusan matematik dan sains komputer di McGill University di Kanada, berkata bahawa selepas dia mula belajar Falun Dafa sejak dua tahun yang lalu, dia berhenti membuang masa dengan bermain permainan video dan melayari internet.

Grenier-Leboeuf juga merupakan pemain trombon dalam Pancaragam Tian Guo. Dia berharap persembahan pancaragam ini dapat menyampaikan berita baik mengenai Falun Dafa.

“Saya fikir muzik benar-benar boleh menyentuh jiwa manusia. Ini cara komunikasi yang berbeza,” katanya lagi.

Hentikan Penganiayaan

Sebelum perarakan, perhimpunan diadakan di Plaza Dag Hammarskjold berhampiran ibu pejabat Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), di mana penceramah menekankan bahawa penindasan rejim China berterusan sehingga hari ini.

“Kekejaman penuaian organ (organ harvesting) masih berlaku di China dan ianya sangat teruk,” kata Teresa Chu, seorang peguam dari Taiwan yang juga merupakan jurucakap Kumpulan Peguambela Falun Gong Taiwan, kepada The Epoch Times.

Penasihat undang-undang dan peguam hak asasi tanpa keuntungan ini akan membawa tindakan undang-undang terhadap pegawai-pegawai dari China yang bertanggungjawab ke atas penganiayaan yang telah dilakukan apabila mereka menjelajah ke negara-negara Asia, dan memberi nasihat undang-undang di parlimen bagi meluluskan perundangan berkaitan isu Falun Gong, termasuk penuaian organ.


Teresa Chu, jurucakap Kumpulan Peguambela Falun Gong Taiwan, pada perhimpunan perarakan Hari Falun Dafa Sedunia, di ibu pejabat U.N pada 16 Mei 2019. (Eva Fu / The Epoch Times)

Pada tahun 2006, muncul laporan bahawa rejim China telah mengeluarkan organ-organ secara paksa dari tubuh para tahanan semasa mereka masih hidup, terutamanya pengamal Falun Dafa, yang digunakan dalam industri pemindahan organ negara.

Menurut laporan pemindahan organ mengikut etnik dalam ‘International Coalition to End Transplant Abuse in China’ yang dikeluarkan pada tahun 2016, terdapat percanggahan yang ketara dengan angka yang dikeluarkan oleh kerajaan dan angka pemindahan organ yang dilakukan oleh hospital di seluruh China.

Mengikut jumlah rasmi, kira-kira 10,000 hingga 20,000 kes pemindahan hati dan buah pinggang dilakukan di 712 buah hospital awam di China dalam setahun. Namun, angka tersebut adalah jauh berbeza daripada angka sebenar iaitu sekitar 60,000 hingga 100,000 setahun. Jurang perbezaan yang besar ini menyimpulkan bahawa sebahagian besar organ tersebut diambil secara paksa daripada tahanan di China.


Pengamal Falun Dafa meningkatkan kesedaran mengenai kekejaman penuaian organ secara paksa di China, ketika mereka berarak melalui Manhattan semasa Hari Falun Dafa Sedunia, pada 16 Mei 2019. (Edward Dye / The Epoch Times)

Isu ini juga telah menarik perhatian Wang Zhiyuan, yang merupakan jurucakap Pertubuhan Sedunia bagi Menyiasat Penganiayaan Falun Gong (WOIPFG) yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Menurutnya penganiayaan ini telah berterusan selama 20 tahun. Isu penuaian organ adalah satu jenayah kejam yang belum pernah terjadi sebelumnya di dunia, tetapi ia masih terus berlaku.

“Kami, WOIPFG, akan terus menyelidiki dan menyiasat apa sahaja jenayah penganiayaan terhadap Falun Gong sama ada melibatkan institusi atau individu yang berkaitan. Tidak kira di mana ia berada atau berapa lama masa yang diperlukan, kami akan mengejar mereka sampai ke penghujung,” katanya.


Li Mingxi di United Nations Plaza pada 16 Mei 2019. (Eva Fu / The Epoch Times)

Bagi Li Mingxi, yang berpakaian sebagai pari-pari bunga teratai dalam perarakan itu berkata, penganiayaan tersebut merupakan isu peribadi yang berat bagi dirinya sendiri.

Datuk saudaranya telah dihantar ke penjara di wilayah timur laut Hebei kerana mengamalkan Falun Dafa pada tahun 2010. Selepas tiga hari, dia dibebaskan, tetapi dia tidak lagi dapat bercakap atau menggerakkan tubuhnya. Dia telah terlantar di atas katil dan hanya mampu membuka dan menutup matanya. Dia meninggal dunia beberapa hari kemudian.

Ketika mendengar berita itu Li sedang terlibat dalam program musim panas sekolah tinggi dan dia terus bergegas ke rumah datuknya untuk melihatnya untuk kali terakhir.

“Saya terkejut. Orang yang berusaha untuk menjadi baik telah ditangkap oleh pihak polis – saya merasakan bahawa seluruh dunia menjadi gelap dan itu menakutkan,” tambah Li lagi.


Pengamal Falun Dafa membawa pelekat membawa gambar mangsa yang meninggal dunia akibat penganiayaan di China, semasa perarakan Hari Falun Dafa Sedunia di New York pada 16 Mei 2019. (Samira Bouaou / The Epoch Times)

Li mula berlatih Falun Dafa pada tahun 2016 selepas dia tinggal di New York. Dalam masa setengah tahun, masalah kesihatan yang dialami selepas bersalin, seperti tekanan darah tinggi, sakit kaki dan penglihatan kabur, telah hilang. Dia juga tidak perlu mengambil ubat moden atau menggunakan ubat herba lagi.

Katanya, “Saya sangat gembira berada di negara yang bebas dan dapat menunjukkan kepada semua orang betapa hebatnya manfaat yang dibawa oleh kepercayaan dan amalan ini kepada saya.”

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran

Video Popular