Aktiviti berenang di dalam kolam renang sememangnya satu aktiviti yang menyeronokkan dan memberi ketenangan bagi sesetengah orang.

Malah, terdapat juga beberapa orang yang berpendapat bahawa dengan hanya dapat masuk ke dalam air kolam sudah cukup menggembirakan mereka.

Walau bagaimanapun, bagi seorang lelaki bernama Seth, nampaknya dia terlalu mengambil serius dengan kenyataan ini. Baru-baru ini, tular di media sosial apabila Seth dirakam tidur sambil terapung di sebuah kolam renang di premis hotel yang terletak di Filipina.


Iris/Twitter

Menurut Coconuts Manila, terjemahan bagi kiriman yang tular milik sepupu Seth menulis, “Kami sedang bercuti bersama keluarga dan ruang tidur tidak mencukupi untuk semua orang, jadi sepupu saya yang sedang mabuk segera memakai seluar pendek dan berkata ‘Saya akan tidur di dalam kolam renang’. Saya fikir dia hanya bergurau, tetapi rupa-rupanya dia serius!”

Gambar-gambar mencuit hati ramai orang itu menunjukkan Seth sedang berbaring di dalam kolam renang beralaskan pelampung dan tangannya memegang satu lagi pelampung berwarna hijau.

Iris/Twitter

Iris pada mulanya tidak mempercayai kata-kata sepupunya yang dianggap hanya bergurau. Walau bagaimanapun, kakaknya yang keluar 20 minit kemudian mendapati Seth masih lagi berbaring di kolam renang dengan sangat selesa.

Bercakap kepada Coconuts, Seth berkata bahawa dia mula tertidur di kolam renang sekitar jam 11.45 malam, “[Tetapi] saya terbangun pada pukul 3 pagi kerana ada orang yang bising bermain bola di kolam renang, dan kemudian saya tidur semula.”

Iris/Twitter

Seth dilaporkan bangun semula pada sekitar jam 7 pagi apabila kakitangan hotel mula membersihkan kolam renang, yang bermaksud bahawa Seth berjaya mendapatkan tidur malam yang selesa dan penuh!

Walaupun kiriman itu menjadi tular dengan cepat, namun Iris menegaskan bahawa orang ramai tidak seharusnya melakukan aksi tersebut dengan berkata,

“Sepatutnya sesiapa sahaja tidak boleh melakukan perkara ini. Kami tidak menghentikan sepupu saya kerana dia seorang lelaki yang sangat pintar dan sentiasa tahu apa yang dilakukannya, ditambah pula dengan adanya rakan-rakan di sekelilingnya pada sepanjang waktu yang bangun dari jam 1 pagi hingga 5 pagi, dia selamat dan hidup.”

Sumber: Coconuts Manila

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular