Sisa pepejal seperti plastik boleh ditemukan di mana-mana sahaja namun para pelajar di sekolah Guwahati, Assam, ia diibaratkan tidak ubah seperti ‘emas’. Bagi mereka, sisa plastik bermakna mereka berpeluang untuk mendapatkan pendidikan secara percuma.

Pada tahun 2013, Mazin Mukhtar dan Parmita Sarma telah berjumpa di India untuk kali pertama dan nampaknya mereka mempunyai keinginan dan impian yang sama – iaitu membawa perubahan dalam bidang pendidikan.

Pada tahun 2016, aspirasi berkenaan telah membuatkan mereka membina sebuah sekolah percuma berpandukan kelestarian di Assam yang dikenali sebagai Akshar.

Pada mulanya, wujud halangan dalam merealisasikan impian kedua-dua individu berkenaan ekoran para ibu bapa tidak bersetuju untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Namun, akhirnya mereka mencipta kurikulum yang bersesuaian dengan keperluan kewangan kebanyakan keluarga sambil menyediakan peluang pendidikan yang sewajarnya buat anak-anak di situ.

“Kami mahu memulakan sekolah percuma kepada semua namun kami sedar terdapat masalah sosial dan ekologi di kawasan ini. Saya masih ingat bagaimana kelas-kelas di sini dipenuhi dengan asap toksik setiap kali terdapat individu yang membakar sisa plastik berkenaan. Membakar sisa plastik adalah norma masyarakat di sini untuk menghangatkan diri masing-masing. Kami mahu mengubahnya jadi kami mula menggalakkan pelajar kami membawa sisa plastik sebagai yuran persekolahan,” jelas Parmita.

Akshar merupakan sebuah sekolah kecil yang bermula dengan hanya 20 orang pelajar yang kini hampir mencecah 100 orang yang berumur antara 4 hingga 15 tahun. Pelajar berkenaan diajar mengenai kepentingan pendidikan, kelestarian alam sekitar dan menyumbang semula kepada komuniti melalui penglibatan pelbagai aktiviti di sekolah.

“Sekolah ini bukanlah seperti sekolah biasa dan ia jelas terbukti jika anda mula masuk. Di sini, anda akan dapati pelajar duduk di dalam kelas di bawah bumbung buluh. Ia merupakan langkah untuk mengubah idea pendidikan yang konvensional. Berbanding dengan darjah dan kelas, kami mempunyai peringkat di mana pelajar daripada pelbagai kumpulan umur dapat belajar bersama-sama tentang perkara yang sama dan pada waktu yang sama,” tambahnya lagi.

Di sekolah yang unik ini, para pelajar dijangkakan untuk membawa bersama beg plastik polythene yang dipenuhi dengan 25 jenis sisa plastik pada setiap minggu sebagai ‘bayaran’ kepada yuran persekolahan masing-masing. Dan plastik berkenaan pula akhirnya akan dikitar semula.

Sumber: Elite Readers, Akshar Foundation

Maybe you're interested :

Share

Video Popular