Pakar psikologi yang memahami mental dan fikiran anak-anak sering memberi tips buat ibu bapa supaya dapat mengawal atau berkomunikasi dengan anak mereka secara lebih baik dan berkesan. Antara tips yang diberikan ialah kaedah bercakap dengan mereka.

understood

Pakar telah menasihati ibu bapa supaya tidak menggunakan perkataan-perkataan tertentu dalam komunikasi dengan anak-anak di rumah. Hal ini kerana setiap perkataan yang keluar daripada mulut ibu atau bapa akan memberi kesan kepada anak-anak. Oleh itu, sebelum berkata atau mahu memarahi mereka berhenti seketika dan fikir akan risiko atau kesan yang bakal dihadapi oleh anak-anak kelak.

Berikut adalah 7 perkataan yang tidak boleh digunakan terhadap anak-anak.

1. “JANGAN KACAU MAMA, PERGILAH MAIN DEKAT SANA.”

Tiada siapa yang tidak penat. Bergelar ibu atau bapa bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak kiralah anda bekerja di luar atau tidak tetapi tugas di rumah sudah membuatkan anda letih dan memerlukan masa sendirian. Namun, perlu diingatkan ada jiwa lain yang memerlukan perhatian anda iaitu anak-anak anda sendiri.

Menurut Suzette Haden Elgin, seorang pengasas di Ozark Center for Language Studies, melalui kata-kata tersebut, anak-anak akan percaya bahawa anda tidak berminat untuk bercakap dengan mereka.  Hal ini nampak seperti mudah namun hakikatnya memberi kesan jangka masa panjang. Kelak, apabila mereka dewasa tidak mustahil mereka akan menyimpan semua perasaan mereka sendiri dan tidak langsung berkongsi dengan anda apa yang mereka rasakan.

Oleh itu, anda perlu memberitahu anak-anak bahawa anda sedang sibuk dan akan melayannya nanti. Namun jangan lupa untuk mengotakan janji tersebut pada anak anda.

radiomontecarlo.net

2. “SIKIT-SIKIT MENANGIS. CENGENG BETUL KAMU NI.”

Anak-anak mula belajar berkomunikasi dengan cara menangis. Sebelum boleh bertutur mereka memerlukan sedikit masa untuk menggunakan perkataan. Apa yang mereka boleh lakukan untuk menunjukkan emosi mereka ialah dengan menangis.

Jadi, jika anak menangis peluklah dia dengan erat dan jelaskan kepada mereka apa yang sedang berlaku. Dengan penjelasan yang diberikan, anak-anak dapat memahami apa yang dikatakan. Perkara ini juga dapat mengajar mereka dalam mengendalikan emosi mereka.

MamaMobil

3. “JANGANLAH TAKUT-TAKUT, KAMU KAN ANAK LELAKI.”

Tidak kira siapa pun apabila mereka berhadapan dengan keadaan yang tidak ‘familiar’ atau asing pastinya mereka berasa tidak selesa dan adakalanya ketakutan. Hal ini bukan hanya berlaku kepada kita malah anak-anak kecil juga sering merasakan perkara yang sama. Mereka bukan sahaja tidak selesa dengan suasana baharu malah berjumpa dengan orang baharu pun sering membuatkan mereka tidak selesa. Tidak kira lelaki atau perempuan mereka tetap merasakan perkara yang sama.

Sebuah artikel dalam Psychology Today menerangkan bahawa perbuatan menghalang anak lelaki untuk menangis dan memaksa mereka menjadi kuat sebenarnya memberi implikasi buruk kepada kesihatan mental mereka. Apa yang mungkin berlaku ialah mereka boleh menjadi lebih agresif, kurang rasa empati dan mungkin juga akan menyalahgunakan kekuatan menggunakan fizikal mereka.

Shyness in Child

4. “TENGOK ANAK AUNTY TU. BARU 4 TAHUN DAH PANDAI MEMBACA. KAMU DAH NAK MASUK SEKOLAH MASIH MERANGKAK-RANGKAK.”

Setiap anak mahu buat yang terbaik dalam apa sahaja yang mereka lakukan. Mereka juga mahu membuatkan ibu bapa mereka bangga dan gembira dengan pencapaian mereka. Namun, kebolehan dan keupayaan mereka tidak sama antara satu sama lain. Jadi, sebagai ibu bapa janganlah membanding-bandingkan pencapaian anak-anak dengan orang lain. Hal ini boleh membuatkan mereka mudah berasa kecewa dan hilang keyakinan diri sehingga mereka takut untuk mencuba lagi.

understood.org

5. “MARI SINI BIAR MAMA BUATKAN.”

Myrna Shure, seorang profesor psikologi di Drexel University dan penulis buku Raising a Thinking Child berpendapat bahawa sikap ini akan mempengaruhi sifat berdikari mereka.

Jadi, beri mereka peluang untuk menyelesaikan sesuatu masalah terlebih dahulu. Biarkan mereka berusaha. Anda boleh membantu mereka apabila melihat mereka memang benar-benar buntu dan memerlukan pertolongan anda.

papodehomem.com.br

6. “KENAPA DEGIL SANGAT NI?”

Menurut Maureen Smith menerusi Telegraph. “Apabila kita memanggil anak dengan gelaran ‘degil’ atau ‘nakal’, perkataan itu akan terakam di dalam otak mereka tanpa sedar sehingga membuatkan mereka percaya bahawa mereka adalah anak yang benar-benar ‘degil’ atau ‘nakal’.”

rolereboot.org

7. “SIAPA BUAT KAMU MENANGIS? MARI SINI ABAH PUKUL DIA…”

Menurut psikologi, sikap ibu bapa seperti ini hanya akan membuatkan anak kita mudah menyalahkan pihak lain jika berlaku sesuatu.

Contohnya jika anak terjatuh. Jangan salahkan batu yang menyebabkan anak terjatuh. Sebaliknya, beritahu mereka bahawa mereka terjatuh akibat kaki mereka tersandung sendiri. Lain kali mereka perlu lebih berhati-hati ketika berjalan supaya tidak terjatuh sekali lagi.

scarymommy.com

Bukan mudah untuk mendidik anak-anak kecil. Setiap perkataan, perbuatan dan tingkah laku ibu bapa dan orang di sekelilingnya akan diperhatikan. Mereka akan menyerap semua perkara yang mereka lihat atau perkataan yang mereka dengar dan mereka akan mengikuti semua tingkah laku tersebut.

Oleh sebab itulah ibu bapa adalah ‘role model’ yang paling hampir buat anak-anak. Betul kata orang pendidikan sebenarnya bermula di rumah. Jika apa yang ditunjukkan oleh ibu bapa adalah sesuatu yang tidak elok maka tidak hairanlah jika mereka melakukan sesuatu yang salah kelak.

Sumber: SIRAP LIMAU

Maybe you're interested :

Share

Video Popular