Bagi peminat sambal ikan bilis pasti tercari-cari sambal garing ikan bilis rangup bukan? Lebih-lebih semasa bulan puasa ini.

Mana tidaknya, sambal garing ikan bilis rangup adalah antara menu ringkas yang menjadi pilihan untuk bersahur sekiranya kita terlewat bangun dan waktu imsak pula semakin menghampiri.

Zalieda Zaliedana menerusi akaun YouTube Zalieda Diari Zaliedana berkongsi cara-cara memasak sambal garing ikan bilis rangup yang mudah disediakan dan enak rasanya. Sambal ini boleh disimpan dan tahan lama. Mari lihat resipi tersebut.

Bahan-bahan:

  • 250 gram bawang merah atau bawang besar (dihiris nipis).
  • 30 tangkai cili kering (dipotong, dibuang biji dan direbus).
  • 250 gram ikan bilis Jepun.
  • Serbuk pati ikan bilis.
  • Garam dan gula secukupnya.

Cara-cara:

1. Goreng bawang merah atau bawang besar yang dihiris nipis dalam minyak yang panas sehingga garing. Apabila telah garing, angkat dan toskan minyak.

Tips untuk mendapatkan bawang goreng yang rangup ialah gaulkan bawang yang telah dihiris itu dengan 1 sudu besar tepung beras dan secubit garam.

2. Goreng ikan bilis Jepun sehingga garing dan toskan minyak.

3. Goreng cili kering yang sudah direbus sehingga garing. Angkat dan biarkan ia sejuk.

4. Kemudian kisar cili kering tersebut bersama serbuk pati ikan bilis atau sedikit garam dan gula secukupnya. Ingat, jangan kisar terlalu halus. Selepas itu tumis cili tersebut.

5. Apabila sambal mulai kering, masukkan ikan bilis dan bawang goreng tadi. Gaul rata.

6. Sambal ikan bilis garing sudah siap dan sedia untuk dimakan.

Untuk pengetahuan anda, sambal ini sesuai dimakan dengan nasi, bubur, roti dan lain-lain pada bila-bila masa dan boleh di bawa ke mana-mana sahaja.

Mari tonton video cara memasak sambal garing ikan bilis rangup ini.

Selamat mencuba!

Sumber: Zalieda Diari Zaliedana|YouTube

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Resipi VIDEO

Video Popular