Pernah makan popia goreng atau popiah basah? Anda sukakannya? Bagi yang meminatinya, pasti berasa nikmat jika dapat makan makanan tersebut lebih-lebih lagi pada bulan puasa seperti sekarang. Kecur air liur dibuatnya!

Kali ini resipi yang ingin dikongsikan daripada pengguna Facebook Siti Hajar Ismail ialah kubis gulung.

Kubis gulung? Macam mana agaknya makanan itu ya? Susahkah membuatnya? Tetapi yang paling penting sekali resipi ini sesuai untuk mereka yang tidak suka makan sayur. Ini kerana menurut Siti Hajar rasanya tidak seperti sayur pun. Mari kita lihat bahan-bahan yang diperlukan dan cara membuatnya.

Bahan-bahan:

  • Kubis
  • Daun bawang (digunakan untuk mengikat kubis gulung)
  • Ayam kisar
  • Bawang holland (dicincang)
  • Lobak merah (dicincang)
  • Lada merah dan hijau (jika suka)
  • Hirisan daun bawang
  • Garam
  • Serbuk lada hitam
  • Minyak zaitun

Cara-cara:

1. Leraikan kubis perlahan-lahan supaya tidak terkoyak. Kemudian celur kubis dan masukkan sedikit garam dalam air mendidih tersebut.

2. Campur ayam kisar, lobak merah, bawang Holland, lada merah dan hijau dan gaul sebati untuk dijadikan sebagai inti.

3. Ambil inti dan letakkan di atas kubis yang telah dicelur tadi. Gulung kubis dengan kemas.

4. Kukus kubis gulung tersebut selama 10-15 minit. Usah bimbang, kubis tidak akan terbuka semasa digulung.

5. Namun, jika anda khuatir kubis tersebut akan terbuka semasa dikukus, anda boleh ikatkan kubis gulung tersebut dengan menggunakan daun bawang.

6. Kubis gulung sudah siap. Anda boleh makan begitu sahaja atau cecah dengan sos yang anda gemari.

Sumber: FACEBOOK | SITI HAJAR ISMAIL

Maybe you're interested :

Share

Video Popular