Nasi adalah salah satu sumber karboridrat yang hebat dan untungnya, di negara kita, nasi merupakan menu makanan ruji yang hampir semua orang memakannya pada setiap hari. Pengambilan nasi dalam diet harian boleh menukarkan nutrien di dalamnya menjadi tenaga untuk manusia terus menjalani kehidupan seharian dengan lancar.

Kredit: Hello Doktor

Walau bagaimanapun, seperti yang kita sedia maklum, di dunia ini terdapat pelbagai jenis nasi dan setiap satunya membawa sumber nutrien yang berbeza-beza. Bukan itu sahaja, setiap jenis nasi ini juga boleh dilihat dengan jelas perbezaannya dari bentuk fizikalnya serta warnanya.

Oleh itu, menerusi entri ini kami akan berkongsi dengan anda empat jenis nasi dengan nutrien yang terkandung di dalamnya. Dengan perkongsian ini, diharapkan bolehlah anda menyesuaikan sendiri pengambilan jenis nasi yang sesuai dengan keperluan tubuh badan anda. Selamat mencuba!

Nasi dari beras putih

Gambar sekadar hiasan/Delish

Beras putih adalah sejenis beras yang telah diproses untuk mengeluarkan sekam, lapisan bran dan kuman yang terdapat padanya. Proses ini juga memberi kesan kepada nutrien dalam beras putih. Hal ini secara tidak langsung menjadikan beras jenis ini mengandungi nutrisi yang paling kurang antara keempat-empat jenis beras yang dinyatakan dalam entri ini.

100 gram beras putih mengandungi 6.3 gram protein. Secara amnya, beras putih dengan bijirin panjang adalah lebih rendah dalam indeks glisemik. Walau bagaimanapun, tubuh manusia boleh menghadam beras putih dengan cepat. Jadi, jika anda makan terlalu banyak nasi putih, anda akan berakhir dengan terlalu banyak karbohidrat.

Nasi dari beras perang

Gambar sekadar hiasan/Chowhound

Beras perang secara relatifnya adalah sejenis bijirin. Bagi penghasilan beras perang, hanya bahagian luar sekam sahaja dikeluarkan. Bran pada beras akan dibiarkan kekal dan memberikan tekstur kenyal dan rasa kekacang (nutty). Masa memasak untuk beras ini juga adalah lebih lama.

Bran yang dibiarkan berada pada beras perang berfungsi untuk melindungi nutrien di dalam beras. Oleh itu, beras perang lebih kaya dengan nutrien berbanding beras putih. Contohnya, 100 gram beras perang mengandungi kira-kira 7.2 gram protein dan 3.2 gram serat. Bukan itu sahaja, beras perang juga penuh dengan magnesium, tiamina, zat besi, dan zink. Beras perang mempunyai indeks glisemik yang sederhana, yang bermaksud beras ini akan membuatkan anda berasa kenyang untuk tempoh yang lebih lama berbanding dengan beras putih.

Nasi dari beras hitam

Gambar sekadar hiasan/Epicurious

Beras hitam adalah sangat berbeza dengan beras putih dan beras perang. Beras hitam mempunyai rasa kekacang dan rasa tanah yang kuat dan memerlukan masa memasak yang lebih lama. Setiap 100 gram beras hitam mengandungi 9.1 gram protein dan 4.7 gram serat. Oleh kerana beras hitam mempunyai indeks glisemik yang rendah, maka beras ini adalah pilihan yang terbaik buat para penghidap diabetes.

Selain itu, dipercayai bahawa beras hitam mengandungi lebih banyak antioksidan berbanding buah beri tetapi kurang kadar gula dan lebih banyak serat.

Nasi dari beras merah

Gambar sekadar hiasan/Recipetineats

Beras merah diperkaya dengan antioksidan jenis antosianin yang dipercayai berkesan dalam mengurangkan keradangan dan alergi, mengurangkan risiko kanser dan menurunkan berat badan. Beras merah boleh didapati dengan atau tanpa sekam.

100 gram beras merah mengandungi 7 gram protein dan 2 gram serat. Beras jenis ini juga mengandungi jumlah nutrien yang lebih tinggi (mangan, magnesium, selenium, dan lain-lain) yang sekaligus menjadikannya sumber makanan yang bagus untuk sesiapa yang mempunyai migrain, tekanan darah tinggi, dan masalah jantung. Kandungan serat yang tinggi dalam beras merah juga boleh membantu proses pencernaan, memperkuat sistem pencernaan dan memperlahankan proses pencernaan karbohidrat ke dalam gula darah.

Sumber: Hello Doktor

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN

Video Popular