SINGAPURA – Seorang warga Nigeria 38 tahun dikesan positif menghidapi jangkitan cacar monyet di Singapura. Ini disahkan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) pada Khamis (9 Mei) sebagai yang pertama dilaporkan di sini.

Pesakit yang disyaki mendapat jangkitan setelah makan daging haiwan liar di Nigeria, kini dalam keadaan stabil dalam wad berasingan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Gettyimage

Seramai 23 yang berhubung rapat dengannya dikuarantin meskipun tidak menunjuk sebarang tanda jangkitan.

Ini adalah beberapa perkara yang anda perlu tahu tentang penyakit tersebut:

BAGAIMANA CACAR MONYET MEREBAK DAN APAKAH RISIKO PENULARANNYA?

 

CNA

Cacar monyet atau ‘monkeypox’ adalah penyakit yang jarang berlaku dan berpunca dari jangkitan virus daripada haiwan seperti monyet dan rodensia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan berlaku apabila seseorang berhubung langsung melalui darah, cecair dari tubuh badan atau luka daripada haiwan yang sudah dijangkiti.

Virus juga boleh merebak akibat memakan daging haiwan yang sudah dijangkiti dan tidak dimasak dengan betul.

Namun, virus tidak mudah merebak di kalangan manusia. Jangkitan antara manusia boleh berlaku akibat hubungan langsung dengan cecair dari saluran pernafasan, tersentuh luka orang yang membawa virus atau objek yang dijangkiti oleh cecair tubuh pesakit.

Seseorang juga perlu berhubung secara langsung dengan agak lama dengan pesakit sebelum jangkitan berlaku.

WHO menekankan buat masa ini tiada bukti yang menunjukkan bahawa jangkitan dari manusia ke manusia boleh menyebabkan penularan berkekalan dalam kalangan penduduk.

MOH menyatakan risiko penularan cacar monyet di Singapura kekal rendah.

APAKAH TANDA-TANDANYA?

Public Health Image Library/CNA

Seseorang yang terkena jangkitan mungkin mengalami tanda-tanda awal seperti demam, sakit kepala, nodus limfa yang bengkak, sakit pinggang, sengal otot dan kurang bermaya.

Ruam akan tumbuh dalam masa sehari hingga tiga hari selepas demam. Ia sering kali bermula di bahagian muka dan merebak ke bahagian tubuh yang lain yang selalunya di tapak tangan dan kaki.

Dalam beberapa kes, virus tersebut boleh menimbulkan komplikasi serius seperti pneumonia, sepsis, radang otak dan kehilangan deria penglihatan akibat jangkitan pada mata.

Simptom-simptom tersebut biasanya kekal antara 14 hingga 21 hari.

BERAPA BAHAYAKAH CACAR MONYET?

Kebanyakan kes maut berlaku di kalangan pesakit dalam lingkungan usia muda, menurut WHO. Kadar kematian semasa penularan dilaporkan pada sekitar 1 hingga 10 peratus.

BAGAIMANA IA DIKESAN DAN DIRAWAT?

Menurut WHO, cacar monyet hanya boleh didiagnos dalam makmal khas menerusi beberapa ujian.

Malangnya, buat masa ini tiada rawatan khas atau vaksin khas untuk jangkitan cacar monyet. Bagaimanapun, vaksin campak terbukti 85 peratus berkesan dalam mengelakkan jangkitan cacar monyet.

Gettyimage

NEGARA MANA LAGI YANG MELAPORKAN PENULARAN CACAR MONYET?

Menurut WHO, penyakit ini pertama kali dikenal pasti di kalangan manusia pada tahun 1970 di Republik Demokratik Congo dan dikesan kebanyakannya di bahagian tengah dan barat Afrika, berdekatan hutan tropika.

Pertama kali kes jangkitan cacar monyet dilaporkan di luar Afrika adalah pada tahun 2003, apabila Amerika Syarikat mencatatkan 37 kes yang disahkan, menurut Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) Amerika Syarikat. Penularan tersebut merebak di lima wilayah.

Penularan itu disahkan berpunca daripada haiwan-haiwan yang diimport dari Ghana ke Texas.

CDC Amerika Syarikat juga menyenaraikan tiga kes cacar monyet di United Kingdom dan satu di Israel, pada tahun 2018.

Sumber : Channel News Asia

  

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL KESIHATAN

Video Popular