KUALA LUMPUR: Malaysia telah menerima pemindahan pertama dana yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak AS$57 juta (RM236 juta) dari Amerika Syarikat (AS) yang disita daripada Red Granite Pictures.

Red Granite Pictures adalah syarikat pembikinan filem berpangkalan di AS yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan anak tirinya Riza Aziz.

The Star

Peguam Negara Tommy Thomas yang mengesahkan perkara itu berkata, pemindahan pertama dana yang dipulangkan sebanyak AS$57,036,688.68 (RM236,563,690.84) telah dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB, sebuah akaun amanah yang dibuka secara khusus untuk tujuan itu.

“Pembayaran pertama dana itu diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan AS (DOJ).

“Jumlah ini disita daripada Red Granite Pictures, sebuah syarikat pembikinan filem yang berpengkalan di Amerika Syarikat (AS) yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak tirinya, Riza Aziz,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

The Straits Times

Mengulas lanjut beliau berkata, dana itu diperoleh susulan penyelesaian sebanyak AS$60 juta (RM249 juta) yang direkodkan di Mahkamah California, baru-baru ini.

Riza adalah Ketua Eksekutif Red Granite Pictures dan menerbitkan filem Hollywood ‘Wolf Wall Street’ yang disaman DOJ bagi tujuan memulangkan AS$1 bilion dana didakwa disalahgunakan berasal dari 1MDB.

Filem berkenaan juga didakwa dibiayai dengan dana 1MDB yang diseleweng.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, Red Granite Pictures bersetuju membayar AS$60 juta tanpa mengakui sebarang liabiliti atau salah laku.

Thomas berkata, sejumlah AS$3 juta (RM12.45 juta) ditolak untuk membayar semula kos dibelanjakan DOJ dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk menyiasat, menyita, membicarakan dan mencapai peyelesaian bagi dana Red Granite Pictures.

The Star Online

“Kos ini termasuk yang dibelanjakan DOJ dan FBI untuk menyiasat, menyita dan memelihara kapal layar mewah, Equanimity ketika kapal terbabit ditahan di perairan Indonesia sebelum dibawa ke perairan negara ini.

“DOJ kini juga dalam proses menghantar pulang sejumlah AS$139 juta (RM576.85 juta) wang yang diperoleh hasil daripada jualan kepentingan milik Jho Low dalam Hotel Park Lane di Manhattan, New York.

DOJ baru-baru ini mengumumkan daripada AS$4.5 bilion (RM18.67 bilion) yang dipindahkan secara salah dari 1MDB, aset yang sedang diusahakan untuk disita DOJ melalui pelbagai tindakan aduan sivil yang difailkan sejak tahun 2016 sehingga tahun ini dianggarkan bernilai AS$1.7 bilion (RM7 bilion).

Beliau berkata, aset itu termasuk kapal layar mewah, Equanimity yang dijual secara kehakiman oleh Mahkamah Admiralti Malaysia bulan lalu pada harga AS$126 juta (RM522.9 juta).

Sementara itu Thomas berkata, Malaysia setakat ini berjaya mendapatkan semula dana berjumlah AS$322 juta (RM1.3 bilion) nilaian daripada aset sejak siasatan ke atas syarikat kontroversi itu bermula secara efektif selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018.

Katanya, Malaysia juga bakal menerima SGD50 juta (RM152.5 juta) daripada dana berkaitan dengan 1MDB menerusi keputusan Mahkamah di Singapura.

Sumber: Berita Harian, Utusan Malaysia, Astro Awani

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL NASIONAL

Video Popular