Membersihkan telinga dengan menggunakan putik kapas bukanlah suatu perkara yang asing buat kita. Kebanyakan daripada kita juga sering melakukannya pada setiap minggu.

Walau bagaimanapun, masih ramai yang belum tahu tentang keburukan melakukan perkara ini kepada kesihatan telinga kita.

Health News Headline

Penggunaan putik kapas yang terlalu kerap untuk membersihkan telinga boleh menyebabkan pelbagai masalah termasuk jangkitan kuman, gegendang telinga terjejas, tahi telinga tersumbat dan mengalami tinnitus (mendengar bunyi berdesing).

Menurut Daily Mail, seorang lelaki berusia 31 telah dihantar ke hospital kerana telah jatuh pengsan selepas diserang sawan dan sakit kepala.

Bukan itu sahaja, lelaki itu juga dilaporkan tidak dapat mengenali nama-nama orang di sekelilingnya sebelum pengsan.

Setelah dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Kemalangan di Hospital Coventry, para doktor mendapati bahawa bahagian otaknya dipenuhi oleh lapisan nanah setelah dilakukan imbasan otak.

Rupa-rupanya, keadaan ini disebabkan oleh cebisan putik kapas yang ditemui terbenam di dalam telinga kirinya. Kerana putik kapas itu, lelaki itu telah mendapat jangkitan bakteria yang bermula di dalam telinga sebelum merebak ke bahagian tengkorak.

Honey Coach

Kes ini telah dilaporkan dalam jurnal Laporan Kes BMJ pada bulan Mac. Pesakit sendiri tidak mengetahui tempoh cebisan putik kapas itu berada di dalam telinganya dan hanya memaklumkan bahawa dia sudah menanggung kesakitan di telinga dan pendengarannya terjejas sejak lima tahun yang lalu.

Syukurlah, selepas cebisan putik kapas dikeluarkan sepenuhnya, keadaan lelaki itu semakin pulih selepas lapan minggu dirawat dengan antibiotik intravea.

“Ramai yang menganggap tahi telinga itu kotor tetapi sebenarnya tahi telinga adalah sesuatu yang semula jadi dan penting,” kata Doktor Roger Henderson yang mempunyai lebih dari 30 tahun pengalaman dalam merawat masalah telinga.

“Saya pernah melihat pesakit mencucuk pensil dan juga klip rambut untuk membersihkan lubang telinga. Tindakan ini boleh menyebabkan kerosakkan pada telinga dan perbuatan seperti itu sangat berbahaya. 

“Tahi telinga bertindak sebagai penghalang kepada segala kotoran dan bendasing dari luar. Selain itu, tahi telinga juga berfungsi untuk mengelakkan air masuk ke dalam lubang telinga dan mencegah jangkitan kuman,” ulas Doktor Henderson mengenai sikap masyarakat yang gemar menggunakan putik kapas.

Adirondack Audiology

Lazimnya, penggunaan putik kapas akan menyebabkan tahi telinga ditolak ke bahagian yang jauh lebih dalam dan kemudiannya akan mengeras seterusnya menyebabkan telinga tersumbat, yang akhirnya akan menyebabkan pendengaran terjejas.

Vik Veer yang merupakan Pakar Telinga, Hidung dan Tekak dari Hospital Kebangsaan Diraja di London berkata bahawa beliau sering mendapat pesakit yang mengadu sakit di bahagian telinga.

Dalam kes yang paling ekstrem, saluran telinga menjadi bengkak dan radang teruk, terutamanya pada orang tua atau pesakit kencing manis.

Oleh itu, cara yang terbaik untuk membersihkan telinga menurut Veer adalah untuk membiarkannya sahaja tanpa perlu berusaha untuk membersihkannya.

Secara semula jadinya, tahi telinga akan keluar dengan sendirinya. Jika mahu mencuba untuk membersihkan telinga juga, cuba gunakan minyak zaitun untuk melembutkan tahi telinga (bukan mencairkan) dan tahi telinga akan dikeluarkan secara berkesan.

HearingCentre

Cara lain yang juga selamat untuk dilakukan adalah dengan menggunakan semburan EarCalm, sejenis semburan antibakteria ke dalam lubang telinga sekurang-kurangnya sekali sehari.

Tahi telinga yang terlalu lama terperangkap di dalam telinga cenderung untuk menjadi keras dan sukar untuk dikeluarkan. Kesannya, pesakit akan mengalami masalah kurang pendengaran, bunyi berdesing atau bunyi yang luar biasa dan sebagainya.

Sekiranya anda berasakan bahawa tahi telinga di dalam lubang telinga anda sudah tersekat, segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

Sumber: Daily Mail

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular