KUALA LUMPUR: Beberapa negeri di utara semenanjung seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang  mengalami hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora berikutan bermulanya Monsun Barat Daya, sejak semalam.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, Monsun Barat Daya akan lebih memberi cuaca kepada tiga negeri berkenaan kerana faktor geologi yang agak terbuka daripada segi pengaruh angin.

Jabatan Meteorologi Malaysia

“Monsun Barat Daya biasanya akan membawa angin dari sebelah barat negara kita.

“Bagaimanapun, keadaan itu berbeza di pantai barat dan selatan tanah air yang dilindungi oleh Kepulauan Sumatera, Indonesia. Jadi kita yang berada di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor agak selamat,” katanya yang dipetik Bernama.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca peringkat waspada (kuning) menyebabkan hujan lebat dijangka berlaku di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Menurutnya, kriteria bagi peringkat waspada itu adalah hujan lebat berterusan dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari lagi atau hujan berterusan sedang berlaku tetapi belum mencapai tahap hujan lebat berterusan.

Liputan6.com/Gambar Hiasan

Dalam pada itu, mengulas mengenai kejadian puting beliung di Tanjung Tokong Pulau Pinang baru-baru ini, beliau berkata kejadian berkenaan kemungkinan disebabkan penumpuan angin kencang dari Lautan Hindi yang bergerak bukan sahaja ke utara Semenanjung tetapi juga di Selatan Thailand.

“Angin ini semestinya akan membawa banyak kelembapan tinggi dan ini boleh membawa hujan lebat di sesetengah tempat. Selain daripada hujan lebat, kita juga menjangkakan angin agak kuat ketika ini dan akan berterusan sehingga Khamis (9 Mei) ini,” katanya.

Sehubungan itu, semua penduduk di negeri-negeri terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan keadaan tersebut.

“Kita lebih risaukan keadaan angin kencang berbanding dengan hujan. Kita jangkakan hujan mungkin sekejap-sekejap dan akan lebat tetapi tidak berterusan.

“Namun, angin kencang pula lebih membahayakan dan mungkin boleh menerbangkan struktur-struktur yang tidak kukuh atau pokok-pokok tua boleh tumbang,” tambahnya.

Sumber: Kosmo, Bernama

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular