Pernahkah anda mendengar tentang kisah burung hantu dan anak itik yang hidup bersama? Unik bukan persahabatan mereka berdua? Bayangkan dua spesies yang berlainan tetapi boleh hidup bersama dengan aman malah boleh pula menjadi teman baik.

Jurugambar hidupan liar, Laurie Wolf telah merakamkan gambar sepasang haiwan comel di  Jupiter, Florida baru-baru ini. Wolf pada awalnya menyangka burung hantu yang dirakam itu sedang menjaga anak kecilnya, namun setelah dia melihatnya secara dekat dia mendapati burung tersebut sedang menjaga seekor anak itik.

Bercakap kepada National Geographic, dia berkata: “Kedua-dua mereka hanya duduk bersebelahan, saya sehingga hari ini seperti tidak percaya.”

Laurie Wolf

Wolf juga pada awalnya bimbang akan mereka berdua. Dia risau yang burung hantu itu akan mencederakan anak itik tersebut kerana pakar burung ada mengatakan bahawa ada kemungkinan burung hantu akan menjadi pemangsa kepada spesies lain. Namun, semua itu tidak berlaku di situ.

Dalam usaha untuk memastikan burung itu selamat, tempat perlindungan haiwan liar tempatan menawarkan untuk menjaga anak itik jika Wolf dapat menangkapnya. Tetapi ketika jurugambar itu dan suaminya cuba menangkap, anak itik itu telah melompat keluar dari kotak itu dan menuju ke kolam berhampiran. Sejak itu dia tidak lagi melihat anak itik itu.

Laurie Wolf

Dia menambah: “Saya tidak fikir saya akan memperoleh apa-apa pengalaman seperti itu dalam hidup saya lagi.”

Fenomena ini bukanlah fenomena biasa kerana itik kayu tidak suka meletakkan telur mereka di satu tempat dan sering meletakkannya dalam sarang burung lain dengan harapan telur mereka akan menetas. Apa yang lebih pelik ialah walaupun telur burung hantu dan itik sangat berbeza, ibu burung hantu itu seperti tidak boleh membezakan antara telur itik dengan telurnya sendiri. Burung ini bahkan turut sama mengeram telur tersebut walaupun bukan telur mereka.

Dunia haiwan memang aneh lagi pelik tetapi di sebalik semua itu seperti ada ‘keajaiban’ yang berlaku. Burung hantu menjaga dan membesarkan seekor anak itik? Ini memang kejadian luar biasa!

Sumber: LADBIBLE , DAILYMAIL

Maybe you're interested :

Share

Video Popular