Apabila Philip Tse mengetahui bahawa pengasuhnya yang telah menjaganya selama 19 tahun didiagnosis dengan kanser ovari, dia segera mengambil penerbangan ke Filipina untuk menjaganya.

Bekas pengasuhnya, Remelyn Zubiaga Yumul yang berasal dari Filipina telah pergi ke Hospital Yanchai di Tsuen Wan, Hong Kong untuk pemeriksaan selepas mengalami sakit perut yang berterusan.

Malang buatnya apabila kesakitan yang difikirkan hanya satu kesakitan kecil telah menyebabkannya ditahan di wad pesakit untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor.

Setelah menjalani beberapa pemeriksaan, doktor mendapati bahawa Remelyn menghidap kanser ovari tahap 4 dan penyakit itu telah tersebar ke paru-paru dan apendiks.

Kredit: The SUN Hong Kong

Syukurlah, pekerjaannya sebagai pembantu rumah di Hong Kong membolehkannya mendapat rawatan di negara itu selagi dia masih berkhidmat. Walau bagaimanapun, Remelyn kemudian memutuskan untuk kembali ke Filipina untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Takdir tidak terlalu membebankannya apabila majikannya yang terkini memahami masalah kesihatan Remelyn dan memberi cuti dan bayaran gaji untuk dua bulan agar Remelyn dapat membayar kos rawatannya.

Sebaik sahaja kembali ke kampung halaman, Remelyn pergi ke Hospital Doktor Capiz di Bandar Roxas untuk menerima rawatan. Dia menjalani pembedahan pada 13 Mac lalu dan telah memulakan kemoterapi pada 22 April.

Remelyn yang berumur 54 tahun pernah bekerja untuk keluarga Tse di mana dia menjaga Philip ketika masih bayi. Remelyn bekerja untuk keluarga itu selama 19 tahun sebelum memutuskan untuk bekerja dengan majikan lain.

Kredit: The SUN Hong Kong

Walaupun tidak lagi bekerja untuk keluarga Tse, namun Remelyn masih berhubung dengan mereka terutamanya Philip.

Apabila Philip mengetahui tentang keadaan kesihatan Remelyn, tanpa berlengah Philip mengambil penerbangan ke Filipina untuk melawatnya. Bagi Philip, dia mahu membalas semula semua kebaikan Remelyn yang menjaganya ketika dia masih kecil walaupun Philip hanya mampu menjaga Remelyn selama beberapa hari sahaja.

Philip yang kini berusia 31 tahun menghabiskan 4 hari di Bandar Roxas untuk menjaga bekas pengasuh kesayangannya.

Sudah tentu, Remelyn sangat terharu apabila mengetahui hasrat Philip. Walaupun sedang berdepan dengan ujian kesihatan, namun Remelyn tetap berasa bersyukur dan menghargai kebaikan Philip.

Sumber: The Sun Hong Kong

Maybe you're interested :

Share

Video Popular