Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Niana Guerrero bersama abangnya yang berusia 22 tahun, Ranz Kyle merupakan antara bintang YouTube yang meningkat naik di Filipina kerana sehingga kini mereka telah menerima kira-kira 7 juta pengikut.

Kedua-dua mereka itu mula menarik perhatian netizen menerusi vlog, usikan, cabaran dan yang paling popular – video menari sambil menyanyi ikut gerak bibir!

Ada di antara video Niana menari dengan berlatar belakangkan lagu popular seperti ‘Despacito’ dan ‘Shape of You’, telah ditonton masing-masing sebanyak 41 juta dan 9.6 juta kali. Video terbaru mereka seperti biasa turut menerima perhatian daripada pengguna alam maya khususnya, ekoran kecomelan aksi mereka.

Dalam video berkenaan, Ranz dilihat sedang memandu kereta sementara adiknya duduk di tempat duduk penumpang hadapan sambil menyanyi gerak bibir lagu terbaru daripada kumpulan Blackpink.

Aksi Niana yang bersahaja berkenaan begitu menghiburkan di mana si adik telah berjaya memenangi hati banyak peminat di internet dengan tarian bak divanya itu. Setakat ini, video yang telah dimuat naik pada 27 April lalu telah menerima tontonan di YouTube sebanyak 6.6 juta.

Lebih menambahkan kecomelan adalah apabila adik kecil mereka, iaitu Natalia yang sedang duduk di dalam kerusi kanak-kanak di tempat duduk penumpang belakang turut tidak melepaskan peluang menunjukkan bakat meskipun masih lagi kecil. Betul-betul comel!

Walaupun pada mulanya Ranz kelihatan agak bingung dengan sesi karaoke kedua-dua adik perempuannya, namun pada penghujung video kita dapat lihat bahawa si abang turut bersama-sama menyanyikan lagu tersebut.

Baiklah, jom tengok video mereka ini. Kami cabar anda untuk tidak terikut menyanyikan lagu ini bersama mereka:

Sumber: Ranz Kyle/Youtube

Maybe you're interested :

Share
Kategori: HIBURAN VIDEO

Video Popular