Bulan Ramadan terasa agak sibuk terutama sekali buat ibu-ibu yang bekerja yang selalu mengejar masa untuk melakukan kerja rumah, beribadah dan pelbagai perkara sehingga ketibaan bulan Syawal.

Perkongsian Puan Asrimah Bakri di Facebook ini mungkin boleh membantu anda. Anda boleh menghasilkan 7 resepi pes atau perencah yang menjadi asas bahan kepada pelbagai lauk-pauk. Dengan adanya pes-pes ini, anda hanya memerlukan masa penyediaan selama 30 minit saja. Sememangnya menjimatkan masa.

Apa yang menarik mengenai penyediaan ini ialah setiap pes boleh dibekukan selama 3 bulan. Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengubah resipi menurut rasa dan kreativiti sendiri.

Asrimah Bakri / Facebook

7 resipi pes masakan yang mudah adalah seperti di bawah:

1. Resipi Pes Sambal Tumis

secukuprasa

Bahan-bahan

  • 2 biji bawang besar
  • 2 biji bawang besar, dihiris bulat
  • 5 ulas bawang putih
  • 4 genggam cili kering, dipotong, direbus, dibasuh dan dikisar
  • Asam jawa
  • Garam, gula dan perasa, secukup rasa

Cara-cara

1. Tumis semua serentak sampai pecah minyak dan naik bau.

2. Masukkan asam jawa, garam, gula, perasa dan hirisan bawang.

3. Gaul sehingga sebati. Pes Sambal Tumis sudah siap.

4. Biarkan sejuk seketika dan bekukan.

5. Nyahbekukan apabila sudah bersedia untuk digunakan.

6. Tambah ikan bilis goreng ke dalam sambal tumis.

2. Resipi Pes Asam Pedas

kulinerkalimantan

Bahan-bahan

  • 3 biji bawang besar
  • 6 ulas bawang putih
  • 3 inci halia
  • 2 batang serai, ditumbuk sedikit
  • Seikat daun kesum
  • 1 sudu besar halba
  • 4 genggam cili kering, dipotong, direbus, dibasuh dan dikisar
  • Asam jawa
  • Garam, gula dan perasa, secukup rasa.

Cara-cara

1. Panaskan minyak, masukkan halba dan serai.

2. Tumiskan cili sehingga pecah minyak dan naik bau.

3. Masukkan pati asam jawa, garam, gula, perasa dan daun kesum.

4. Biarkan masak selama 3 minit. Pes Asam Pedas sudah siap.

5. Biarkan pes sejuk seketika dan bekukan.

6. Apabila sudah bersedia untuk digunakan, nyahbekukan pes.

7. Masukkan ikan atau ayam, bendi dan tomato serta sedikit air asam untuk menambah lebih rasa.

3. Resipi Pes Tom Yam Merah

mohonclashh

Bahan kisar

  • 10 biji bawang merah
  • 5 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 genggam cili kering (Tidak perlu direbus, terus dikisar)
  • 10 biji cili api
  • 1 inci lengkuas
  • 3 inci halia
  • 5 batang serai
  • 5-6 helai daun limau purut

Bahan-bahan

  • 5 biji limau purut dan diperah jusnya.
  • Sos ikan

Cara-cara

1. Kisar semua bahan sehingga lumat.

2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bahan kisar sehingga naik bau.

3. Apabila sudah naik bau, masukkan jus limau purut, sos ikan, garam, gula dan perasa.

3. Gaul sehingga sebati. Pes Tom Yam Merah sudah siap.

4. Biarkan pes sejuk seketika dan bekukan.

5. Apabila sudah sedia untuk digunakan, nyahbekukan pes dan didihkan dalam periuk.

6. Masukkan ayam / daging / makanan laut / sayur-sayuran dan taburkan daun ketumbar.

Tips tambahan:

  • Jika anda mahukan kuah tom yam yang lebih pekat, kisarkan tomato sehingga menjadi pes dan masukkan ke dalam kuah.
  • Jika anda ingin menghasilkan tom yam kungfu, masukkan 3 sudu susu pekat.

4. Resipi Pes Tom Yam Putih

cookpad

Bahan kisar

  • 10 biji bawang merah
  • 5 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 10 biji cili api
  • 1 inci lengkuas
  • 3 inci halia
  • 5 batang serai
  • 5-6 helai daun limau purut

Bahan-bahan

  • 5 biji limau purut, diperah jusnya.
  • Sos ikan

Cara-cara

1. Kisar semua bahan sehingga lumat.

2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bahan kisar sehingga naik bau.

3. Apabila sudah naik bau, masukkan jus limau purut, sos ikan, garam, gula dan perasa.

4. Gaul sehingga sebati. Pes Tom Yam Putih sudah siap.

5. Biarkan pes sejuk seketika dan bekukan.

6. Apabila sudah sedia untuk digunakan, nyahbekukan pes dan didihkan dalam periuk.

7. Masukkan ayam / daging / makanan laut / sayur-sayuran dan taburkan daun ketumbar.

Tips tambahan:

  • Sekiranya anda mahukan kuah tom yam yang lebih menyengat, masukkan 3 sudu susu pekat.    

5. Resipi Pes Rendang Ayam

caramasak

Bahan-bahan

  • 5 biji bawang besar
  • 10 biji bawang kecil
  • 6 ulas bawang putih
  • 3 inci halia
  • 2 inci lengkuas
  • 2 inci kunyit hidup
  • 6 batang serai
  • 2 genggam cili kering (Tidak perlu direbus, terus dikisar)
  • 2 kotak santan Harmoni
  • Daun kunyit (Dihiris halus)
  • Daun limau purut (Dihiris halus)

Cara-cara

1. Kisar semua bahan-bahan sehingga lumat.

2. Tumiskan sehingga pecah minyak dan naik bau.

3. Masukkan santan, garam, gula, perasa, daun limau purut dan daun kunyit.

4. Gaul sehingga sebati. Pes Rendang Ayam sudah siap.

5. Biarkan pes sejuk seketika dan bekukan.

6. Apabila sudah bersedia untuk digunakan, nyahbekukan pes.

7. Tumiskan pes dalam kuali dan masukkan secawan air.

8. Masukkan ayam dan masak sehingga ayam menjadi empuk dan kering.

6. Resipi Pes Sup

theweekender

Bahan kisar

  • 5 biji bawang besar
  • 10 biji bawang kecil
  • 6 ulas bawang putih
  • 5 inci halia
  • 6 batang serai
  • 6 sudu besar rempah sup Faezah, dibancuh dengan air

Bahan-bahan

  • Rempah 5 sekawan

Cara-cara

1. Panaskan minyak, masukkan rempah 5 sekawan.

2. Tumiskan bahan kisar sehingga pecah minyak dan naik bau.

3. Masukkan bancuhan rempah sup dan tumis selama 2 minit.

4. Pes Sup sudah siap.

5. Biarkan pes sejuk seketika dan bekukan.

6. Apabila sudah bersedia untuk digunakan, masukkan pes ke dalam kuali.

7. Tambah air dan asam jawa mengikut citarasa.

8. Masukkan ayam dan sayur-sayuran.

7. Resipi Pes Kari

homestayizzah

Bahan kisar

  • 5 biji bawang besar
  • 10 biji bawang kecil
  • 6 ulas bawang putih
  • 5 inci halia
  • 6 sudu besar rempah kari daging Faezah, dibancuh dengan sedikit air

Bahan-bahan

  • Rempah 5 sekawan
  • 1 sudu halba

Cara-cara

1. Kisarkan bahan-bahan sehingga lumat.

2. Panaskan minyak, masukkan rempah 5 sekawan dan halba.

3. Tumiskan bahan kisar sehingga pecah minyak dan naik bau.

4. Masukkan bancuhan rempah kari dan tumis selama 2 minit.

5. Pes Kari sudah siap.

6. Biarkan pes sejuk seketika dan bekukan.

7. Apabila sudah bersedia untuk digunakan, nyahbekukan pes.

8. Masukkan dalam kuali dan tambah asam jawa, ayam dan sayur-sayuran.

Sangat mudah, bukan? Dengan penyediaan lebih awal, anda tidak perlu meluangkan waktu lebih lama untuk menyediakan hidangan berbuka puasa atau sahur. Selamat mencuba dan selamat menunaikan ibadah puasa!

Sumber : Puan Asrimah Bakri/ FacebookSAYS

Maybe you're interested :

Share

Video Popular