Beg plastik biodegradasi atau boleh urai kini menjadi semakin popular tetapi terdapat satu masalah yang amat ketara iaitu ia mudah terkoyak atau tercarik dan terputus.

Walau bagaimanapun, sekumpulan saintis dari Korea Selatan telah menemui satu cara untuk mengatasi masalah ini kerana mereka telah berjaya membangunkan satu versi baru beg plastik yang boleh urai tetapi lebih kukuh dengan kekuatan tegangan yang lebih baik.

Institut Penyelidikan Kimia Korea (KRICT) telah mengumumkan bahawa pasukan penyelidikan mereka yang diketuai oleh Dr. Oh Dong-yeop, Dr Hwang Seong-yeon, dan Dr. Park Jae-young telah membangunkan beg plastik biodegradasi yang mampu menyaingi beg plastik konvensional.

Korea Research Institute of Chemical Technology

Kajian mereka menunjukkan bahawa beg plastik biodegradasi ini akan terurai dalam tempoh enam bulan. Ia diperbuat daripada tebu, kayu, jagung dan jerami bersama kandungan monomer daripada petroleum.

Versi baru dan lebih baik bagi beg plastik biodegradasi akan dapat menyelesaikan masalah utama beg plastik jenis ini kerana ia cenderung untuk merobek dan terputus apabila digunakan.

Penyelidik dari Korea Selatan mengatasi masalah ini dengan menambahkan pengeras yang diekstrak dari pulpa kayu dan cengkerang ketam untuk meningkatkan kekuatan dan ketahanan beg plastik biodegradasi.

Ia sama kukuh seperti nilon yang digunakan pada payung terjun dan tali pinggang keselamatan.

Korea Research Institute of Chemical Technology

Beg plastik biodegradasi yang baru ini juga boleh melepasi kekuatan bahan plastik biasa seperti polypropylene’ dan ‘polyethylene’.

“Kami berharap bahan plastik yang digunakan di pusat membeli belah, kafe dan peniaga lain akan digantikan dengan keluaran kami,” kata Dr. Hwang Seong-yeon, ketua pusat penyelidikan biokimia di KRICT.

Ini akan membantu para pengguna untuk menukar keutamaan mereka dalam menggunakan beg plastik biodegradasi berbanding beg plastik konvensional.

Pixabay / Gambar Hiasan

Sementara beg plastik biodegradasi hanya mengambil masa antara tiga dan enam bulan untuk mengurai, beg plastik biasa mengambil masa yang lebih lama untuk mula mengurai.

Biasanya, barang-barang plastik biasa mengambil antara 10 hingga 1000 tahun sebelum semuanya mula mengurai manakala botol plastik mengambil masa selama 450 tahun dan lebih untuk mengurai. Bayangkan kesannya terhadap alam sekitar.

Sumber : Korea Biz Wire

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular